Berita

Terus patuh PKP, jangan salah erti kes Covid-19 turun

PETUGAS kesihatan di Bilik Gerakan dan Khemah Saringan Covid-19 Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam. Gambar hiasan KKM
- Diterbit 18 April 2020 1:50 PM MYT

PUTRAJAYA – Masyarakat dinasihatkan agar tidak menyalah erti penurunan kes Covid -19 yang berlaku kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebaliknya menegaskan, walaupun berlaku penurunan, masyarakat tetap perlu patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga.

Jelasnya, semua petugas barisan hadapan daripada semua agensi telah bertungkus-lumus setiap hari dalam mengawal wabak ini.

“Pihak kementerian menghargai kerjasama yang telah diberikan dan ingin memohon agar petugas barisan hadapan kekal cekal dan bertabah kerana bersama kami dapat memerangi penularan Covid-19.

“Bagaimanapun, kita khuatir sekiranya penurunan jumlah kes beberapa hari ini disalah erti serta membuatkan masyarakat alpa lalu mengambil mudah terhadap PKP kerana memikirkan bahawa wabak ini hampir selesai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Oleh itu, Dr Noor Hisham meminta masyarakat untuk kekal berada di rumah selain mengamalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangya satu meter dari orang lain.

“Mereka juga perlu mengamalkan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun. Pendekatan ini penting dalam memutuskan rantaian penularan jangkitan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pemilik perniagaan perlu mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan sekiranya dibenarkan beroperasi pada fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini kerana PKP fasa ketiga penting, bahkan perlu ditingkatkan dari segi aspek pelaksanaan dan tindakan bagi menghentikan penularan Covid-19,” katanya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas