Selebriti

Tertekan ditanya kenapa kurus… “Saya manusia biasa” – Hafiz Suip

|HAFIZ kini muncul dengan lagu Berakhirlah Pencarianku duet bersama Ernie Zakri
- Diterbit 31 Julai 2021 11:33 PM MYT

SIAPA yang tidak stres apabila sering ditanyakan soalan tentang perubahan susuk tubuh. Tambahan pula ia menjadi topik perbualan dalam media sosial.

Begitulah tekanan yang dialami oleh penyanyi popular Hafiz Suip walaupun dirinya mengakui berada dalam keadaan sihat.

“Apabila kamu ditanya soalan membabitkan ibu bapa, isteri atau mentua. Jika kamu sering ditanya begitu, tertekan tak? Memang tertekan sebab saya manusia biasa, menjadi artis hanyalah sebuah kerjaya.

“Jika manusia biasa dilempar bermacam-macam tuduhan memang boleh tertekan. Saya sihat, tapi apa yang orang lain nak sampaikan daripada pertanyaan mereka?

“Sekiranya mereka benar-benar prihatin saya ucapkan alhamdulillah,” katanya dalam sidang media pelancaran lagu Berakhirlah Pencarianku yang merupakan nyanyian duetnya bersama Ernie Zakri yang dilakukan secara maya pada Jumaat lalu.

Hafiz yang telah membuat pemeriksaan secara alternatif dengan berjumpa ustaz ini juga mengaku risau jika soalan berulang kali ditanya itu boleh mengganggu kesihatan mentalnya.

“Jika memang ingin concern jumpa terus atau call secara personal. Jangan tuduh seseorang itu atau cakap pada orang lain dan beri pelbagai tanggapan seperti ambil dadah, family tak beri makan atau macam-macam lagi.

“Nanti daripada saya sihat, terus jadi sakit sebab tertekan,” katanya lagi.

HAFIZ kini muncul dengan lagu Berakhirlah Pencarianku duet bersama Ernie Zakri

 

Dalam pada itu, kerinduan peminat terhadap Hafiz terubat apabila muncul dengan lagu Berakhirlah Pencarianku duetnya bersama Ernie Zakri.

“Bagi saya ini projek yang boleh diibaratkan mimpi menjadi kenyataan kerana dapat juga berduet dengan Ernie.

“Sebelum ini, saya pernah menyaksikan persembahan duetnya dengan protege saya. Pada masa sama dia juga seorang guru vokal.

“Orang lepas menang AJL ke-35 takkan nak tolak. Dapat peluang berkongsi studio, subhanallah, satu perkara yang sangat baik,” luah Hafiz yang mengaku rasa bertuah diberikan peluang tersebut.

Menurut Hafiz, kolaborasi mereka menerusi lagu Berakhirlah Pencarianku memberi peluang kepada mereka berdua untuk berkongsi pengalaman yang ada.

“Apa yang saya lalui selama ini menjadi pengalaman. Mungkin itu juga yang membuatkan orang nampak saya di tahap sekarang. Sebenarnya banyak lagi perkara yang saya nak kena belajar.

“Dari segi teknik nyanyian, banyak lagi yang perlu dipelajari jika mahu dibandingkan dengan Ernie. Macam Ernie dia memang belajar itu. Saya belajar juga, tapi lambat. Jadi, dari segi teknik nyanyian, Ernie masih terbaik bagi saya.

“Kalau dari soal pengalaman, mungkin saya ada sedikit kelebihan sebab saya sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri muzik dan pernah menang pelbagai anugerah. Jadi, apa yang saya nak sampaikan di sini ialah masing-masing ada keistimewaan. Saya tak nafikan Ernie ada vokal yang sangat bagus,” ujarnya.

Hafiz juga berharap, kolaborasinya bersama Ernie ini disukai peminat dan memberi satu pengalaman baharu dalam kerjayanya sebagai penyanyi.

Jangan lupa dengar lagu Berakhirlah Pencarianku di semua platform digital ya! – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas