Berita

Teroka potensi besar bidang hartanah

BIDANG hartanah seperti perumahan memiliki prospek besar untuk diterokai. - Gambar Hiasan.
- Diterbit 5 September 2022 12:47 AM MYT

MENYEDARI potensi besar bidang hartanah terutamanya perumahan mendorong Mohd Harris Mohd Sharif bersama pasangannya, Noorisma Roslan, menganjurkan seminar Peluang Kerjaya berlangsung di Kelab Belia Antarabangsa (IYC), di sini.

Mengulas mengenainya, Mohd Haris yang juga Pengurus Hartanah, Agensi Hartanah Firdaus & Associates berkata, penglibatan golongan belia dalam seminar selama satu hari itu menjadi landasan yang terbaik bagi mereka menceburi bidang hartanah.

MOHD Haris (enam dari kiri) bersama pasangan, Noorisma (lima dari kanan) bersama sebahagian ejen hartanah terlibat dalam program Peluang Kerjaya, baru-baru ini.

Katanya, potensi besar dalam urusan jual beli hartanah dengan jaminan pendapatan lumayan, harus dimanfaat sebaik mungkin oleh golongan muda Parlimen Bandar Tun Razak serius menceburinya dan seterusnya membina masa depan lebih cerah.

“Dalam senario ekonomi negara semakin pulih dan kadar pelaburan langsung asing (FDI) mencatatkan pertumbuhan positif, ini masa terbaik golongan muda terutamanya Bumiputera menceburi bidang hartanah.

“Saya turut yakin, melalui seminar dianjur dapat membuka minat dan minda mereka untuk komited meneroka peluang di dalam bidang hartanah yang selama ini dikuasai bangsa lain kerana potensinya sangat luas dan semakin berkembang,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.

ANTARA peserta dan Ahli Jawatankuasa yang terlibat dalam program berlangsung di IYC, Bandar Tun Razak, 4 September lalu.

Seminar Peluang Kerjaya Parlimen Bandar Tun Razak julung kalinya diadakan itu turut mendapat sokongan Ahli Parlimen, Datuk Kamarudin Jaffar telah disertai hampir 100 peserta daripada golongan belia berusia 20 hingga 40 tahun.

Dalam pada itu, Noorisma yang juga Ketua Agensi Hartanah Firdaus & Associates pula mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang kini Timbalan Menteri Luar atas komitmennya menjayakan program Peluang Kerjaya yang mendapat sambutan positif masyarakat.

NOORISMA ketika mengendalikan salah satu slot program Peluang Kerjaya dalam bidang hartanah.

Katanya selaku penganjur pihaknya optimis penerangan serta panduan diberikan boleh dimanfaat setiap peserta untuk menceburi bidang hartanah secara serius dan terokai peluang kerjaya dalam industri berkenaan.

“Saya yakin, dengan kesungguhan dan idea kreatif yang dimiliki oleh anak muda, mereka mampu mengubah nasib keluarga sendiri dan memberikan masa depan lebih cerah.

“Terima kasih kepada semua pihak terlibat menjayakan program dikendali oleh Ketua Jabatan Agensi Hartanah, Khairul Amadi serta rakan-rakan dari Firdaus & Associates Real Estate Agency yang telah menceburi bidang hartanah bertahun lamanya,” jelas ibu kepada dua cahaya mata itu.

Sementara itu, melalui program dianjurkan para peserta turut diberi pendedahan luas bagaimana melibatkan diri dalam hartanah dan keperluanya secara langsung merubah taraf hidup lebih positif hasil kesungguhan dan usaha gigih berterusan tanpa jemu.

Dengan peluang diberikan, golongan belia digesa merebut peluang terhidang supaya mampu mengubah taraf ekonomi keluarga masing-masing. Sesiapa berminat ketahui lebih lanjut berkenaan peluang dan potensi kerjaya dalam bidang hartanah ini, hubungi Mohd Haris di talian 012-641 0657 untuk sebarang pertanyaan dan info lanjut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas