WK2

Terminal Putrajaya Sentral berwajah baharu menjelang 2024

PELBAGAI penambahbaikan telah dirancang dalam menjadikan TPS ke arah terminal bergred A.
- Diterbit 25 Mac 2023 2:00 AM MYT

PEMBUKAAN perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya baru-baru ini pastinya memberi kelegaan buat banyak pihak yang sudah lama menantikan kemudahan tersebut di Putrajaya.

Terletak bersebelahan MRT Putrajaya, Terminal Putrajaya Sentral (TPS) secara tidak langsung turut menerima tempiasnya apabila jumlah penggunanya turut meningkat sekali gus pelbagai penambahbaikan telah dirancang bagi memastikan keselesaan buat orang awam.

FAHIZEE

Menurut Pengurus TPS, Fahizee Mustafa, projek naik taraf TPS melibatkan kos sebanyak RM6.3 juta dan ia dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2023.

“Projek naik taraf ini telah dimulakan sejak Februari 2023 dan antara penambahbaikan yang sedang dilakukan adalah penarafan terminal gred A, Perlaksanaan Sistem Jualan Tiket Berpusat (CTS), Passenger Information System (PIDS) dan Terminal Management System (TMS).

“Kita juga sedang menaik taraf reka bentuk ruang dalaman dan luaran bahagian terminal seperti kaunter sistem tiket berpusat, kaunter Orang Kurang Upaya (OKU), platform pelepasan dan ketibaan, kemudahan akses OKU dan ruang menunggu tertutup dan berhawa dingin,” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Fahizee berkata lebih menarik pihaknya menggunakan konsep dari negara Jepun dalam membuat tanda arah di mana ia ditulis di atas laluan pejalan kaki dengan lebih jelas dan menarik.

MOHD SUZILAN

Dalam pada itu, Pengarah Trafik dan Pengangkutan Awam Perbadanan Putrajaya (PPj), Mohd Suzilan Sahak berkata projek naik taraf ini akan menjadikan TPS sebagai hab pengangkutan pelbagai mod.

“Ia merangkumi perkhidmatan bas henti-henti, bas ekspres, teksi, e-hailing dan kereta api (Kuala Lumpur International Airport Transit, MRT Laluan Putrajaya dan Perancangan Monorel Putrajaya).

“Kita juga turut melantik perunding trafik bagi menambah baik arah pergerakan bas keluar masuk di sekitar terminal ini di mana kenderaan lain tidak lagi dibenarkan memasuki kawasan ketibaan dan perlepasan.

“Sehubungan itu sebanyak 1,365 tempat letak kereta berbumbung disediakan manakala 88 petak parkir di kawasan tempat letak kereta terbuka,” ujarnya yang mengharapkan projek naik taraf ini dapat menjadikan TPS sebagai pilihan utama pengguna pengangkutan awam. -WILAYAHKU

PEMANDANGAN dari udara.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas