Terima suntikan kedua vaksin COVID-19… “saya mengantuk, suami sakit kepala”- Sasha Saidin

Terima suntikan kedua vaksin COVID-19… “saya mengantuk, suami sakit kepala”- Sasha Saidin

BEKAS anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin,45,  kini selesai mengambil dos kedua suntikan vaksin Covid-19 kelmarin.

Menurut kakak pelakon Zain Saidin ini, vaksin yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal Sinopharm tersebut telah diterima bersama suami, Sirhan Wahab di Hospital Emirates Field, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Kerajaan UAE memberikan suntikan vaksin secara percuma kepada penduduknya.

Menerusi instagram, Sasha meluahkan rasa lega menerima suntikan kedua yang lebih bersifat ringan berbanding yang pertama.

“Alhamdulillah saya dan suami sudah melengkapkan vaksin Sinopharm dengan mengambil dos kedua selepas 21 hari menerima suntikan pertama.

“Kami diberitahu jururawat bahawa dos kedua ini sebenarnya lebih kepada penggalak (booster) dan bersifat lebih ringan berbanding dos pertama yang diambil sebelum ini,” ujarnya.

Sasha juga menjelaskan dia dan suami mengalami kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin kedua itu.

“Sebaik sahaja pulang ke rumah selepas mengambil suntikan kedua, saya berasa sangat letih dan mengantuk, manakala Sirhan pula mengalami sakit kepala.

“Tetapi selepas mengambil paracetamol dan tidur seketika, badan kami mula berasa okey seperti biasa.

“Buat masa ini kami berdua baik-baik sahaja dan akan memantau keadaan antara satu sama lain. Kami telah pun kembali menjalani rutin harian seperti biasa,” katanya yang pernah demam dan alergi selepas menerima suntikan pertama sebelum ini.

Terdahulu, Sasha yang kini telah menetap di UAE kerana mengikut suaminya yang bertugas di sana telah menerima suntikan pertama vaksin Sinopharm pada 24 Disember lalu. – WILAYAHKU

CATEGORIES