Berita

Terengganu lulus enakmen turunkan had umur calon bertanding di peringkat DUN

- Diterbit 12 Ogos 2020 10:06 AM MYT

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini sebulat suara meluluskan Enakmen Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu (Bab Pertama) (Pindaan) 2020 yang meminda had umur calon yang bertanding pada pilihan raya di peringkat DUN.

Semasa membentangkan enakmen itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahri Mamat berkata pindaan tersebut menurunkan umur kelayakan bagi individu yang bermastautindi Terengganu untuk menjadi ahli DUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Pindaan ini tidak melibatkan kerajaan negeri dalam apa-apa perbelanjaan atau wang tambahan,” katanya.

Ketika ditemui pemberita selepas sesi persidangan DUN itu, Satiful Bahri berkata enakmen tersebut bertujuan menyelaras pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan had umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan Dewan Rakyat itu turut menurunkan umur warganegara yang layak bertanding di peringkat Parlimen kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sebelum ini.

“Terengganu merupakan antara negeri yang terawal mengutarakan untuk memberi kelayakan kepada mereka berusia 18 tahun menjadi calon bagi DUN mewakili mana-mana parti,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan DUN ke-14 yang berakhir hari ini turut sebulat suara meluluskan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 bagi mengukuhkan lagi penguatkuasaan kerajaan negeri terhadap penggunaan dan pengeluaran air di Terengganu.

Ketika ditemui pemberita selepas persidangan DUN hari ini, Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Teknologi Hijau dan Utiliti negeri Dr Mamad Puteh berkata enakmen air di bawah Lembaga Air Negeri Terengganu itu dijangka dikuatkuasakan pada Januari tahun depan.

Pindaan itu antara lain membolehkan kerajaan negeri mengenakan caj ke atas pihak industri yang mengambil dan menggunakan air laut di Terengganu yang pada masa ini adalah percuma, katanya, menambah enakmen tersebut memungkinkan kerajaan negeri meraih pendapatan sehingga RM100 juta setahun. – Bernama

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas