Berita

Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dilantik penaung pertama FDAM

- Diterbit 6 Februari 2021 3:56 PM MYT

PENGERUSI Lembaga Pelabuhan Kuantan Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dilantik sebagai penaung Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang pertama sejak persatuan itu ditubuhkan pada tahun 1993, berkuat kuasa 1 Feb lepas.

Presiden FDAM Ahmad Ibrahim menyifatkan pelantikan Tengku Azlan sebagai satu anugerah berharga buat penggiat industri kreatif bagi melonjakkan industri itu dalam menghadapi cabaran 2021 di tengah krisis ekonomi berikutan pandemik COVID-19.

“FDAM tidak menyangka Tengku Azlan menerima pelawaan persatuan dalam masa yang singkat sebaik sahaja saya dan Ketua Sekretariat FDAM Mohamad Zaini Hassan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat beliau bagi mempersembahkan surat undangan secara rasmi awal minggu ini.

“Kami menyanjung tinggi keikhlasan Tengku menerima pelawaan kami. Rupa-rupanya Tengku seorang yang prihatin terhadap nasib anak seni. Dalam kesibukannya sebagai ahli perniagaan dan tokoh korporat, Tengku masih ada masa mengikuti perkembangan industri seni negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Azlan, 72, yang juga adinda kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Jerantut selama tiga penggal dari 1999 hingga 2013 dan Timbalan Menteri Pengangkutan dari 2004 hingga 2008. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas