Berita

Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPK dilanjutkan sehingga 31 Mac

- Diterbit 20 Januari 2021 8:31 AM MYT

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman latihan kemahiran Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), selama tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak, iaitu sehingga 31 Mac.

Menterinya Datuk Seri M. Saravanan berkata, ini berikutan terdapat peminjam PTPK yang terkesan dengan pandemik COVID-19, dan masih belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.

Beliau berkata peminjam PTPK yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui borang penangguhan, yang boleh diisi di laman sesawang PTPK mulai 15 Jan hingga 31 Mac.

“Pelanjutan tempoh penangguhan ini akan melibatkan bayaran balik pinjaman berjumlah RM9,516,798.90 dan akan memberi manfaat kepada 72,747 bilangan akaun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata KSM amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan serta kesukaran hidup yang dihadapi oleh sebilangan peminjam PTPK, yang kehilangan pekerjaan susulan pandemik COVID-19 selain bencana banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh mengemukakan email kepada [email protected] atau [email protected] dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi melalui laman web rasmi PTPK www.ptpk.gov.my. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas