Berita

Tema HKHM 2023 dukung konsep Malaysia Madani

Fahmi (tiga kiri) hadir pada Majlis Pelancaran Tema dan Logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, di Kuala Lumpur, pada Sabtu.
- Diterbit 28 Mei 2023 3:50 AM MYT

MALAYSIA Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 kali ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata tema tersebut mendasari tekad serta komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan tinggi, bersatu padu serta kehidupan aman dan sejahtera.

“Tema ini turut didokong dengan konsep Malaysia Madani sebagai kunci utama bagi memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan serta kemodenan yang berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat-menghormati dan ihsan,” katanya ketika melancarkan logo dan tema HKHM 2023 di Esplanade, Taman KLCC.

Fahmi berkata seiring dengan aspirasi tersebut, logo Malaysia Madani turut dipilih menjadi logo rasmi HKHM 2023.

“Pemilihan logo tersebut berteraskan kepada reka bentuk logo yang unik dan simbolik dengan ‘tangan yang sedang diangkat, untuk melafazkan ikrar Rukun Negara’ serta mengandungi warna-warna asas Jalur Gemilang selaras dengan jati diri serta semangat patriotik rakyat Malaysia yang berbilang bangsa hidup dalam keharmonian, sehati dan sejiwa.

“Selain itu, pemilihan tema HKHM 2023 telah dibangunkan menerusi hasil kerjasama strategik dan kesepakatan pasukan panel pemikir yang mendukung semangat kesukarelawan terdiri daripada 16 orang pakar pelbagai bidang, antaranya ahli akademik, tokoh budaya, pengamal media, pertubuhan belia, badan bukan kerajaan (NGO), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ikon belia dan pempengaruh media sosial,” ujarnya yang menyeru semua pihak untuk menggunakan, memaparkan dan menularkan logo dan tema HKHM 2023 sebagai tanda cinta kepada negara.

Berkongsi mengenai program sepanjang Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, Fahmi berkata pelbagai program peringkat kebangsaan bakal dianjurkan.

“Antaranya ialah Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 pada 15 Julai di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak kemudian disusuli dengan Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Putrajaya dan diikuti oleh Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Kuching, Sarawak.

“Harapan saya agar semua rakyat Malaysia sama-sama semarakkan rasa cinta negara dengan turut serta dalam program yang telah disusun atur sepanjang bulan kebangsaan ini,” katanya.

Terdahulu, Majlis Pelancaran Logo serta Tema HKHM 2023 turut diadakan serentak di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah di mana ia juga menandakan permulaan pengiraan detik sambutan HKHM 2023. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas