Berita

Teladani semangat Malaysia, asas kejayaan Tan Sri Lim Kok Wing

- Diterbit 17 Ogos 2020 4:12 AM MYT

WALAUPUN perbezaan pendapat masih menyelubungi pemikiran sesetengah rakyat Malaysia, namun dalam kebanyakan hal kehidupan, mereka masih saling hormat-menghorrmati.

Itu antara pandangan Tan Sri Prof Emiratus Dr Lim Kok Wing, Tokoh Pendidikan, Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, yang melihat aspek perpaduan masih menjadi kekuatan negara ini, yang akan meraikan Hari Kebangsaan ke-63 tahun dengan tema “Malaysia Prihatin” pada 31 Ogos depan.

Dilahirkan sebelum era kemerdekaan, Kok Wing yang juga seorang usahawan tersohor sentiasa menerapkan semangat cintakan Malaysia dalam kehidupannya.

Inilah, kata beliau, yang menjadi rahsia kejayaan empayar perniagaan pendidikannya yang sudah mengembangkan sayap dan membuka cawangan di merata dunia.

Menurut anak kelahiran Ipoh, Perak Darul Ridzuan ini, perbezaan dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini harus diraikan dan bukan menjadi titik kepada perselisihan.

“Sebagai rakyat Malaysia berketurunan Cina, saya berbangga dilahirkan di sini. Kepelbagaian budaya dan keturunan di Malaysia mewarnai perpaduan dan semangat patriotisme.

“Walau apa pun bangsa dan keturunan sekalipun, kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah benteng pegangan rakyat yang berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara,” katanya kepada Bernama baru-baru ini dan turut menyifatkan Malaysia “ibarat lukisan dan rakyat merupakan seniman yang melukiskannya”.

BAWA SEMANGAT MALAYSIA

Semangat Malaysia yang kental dalam jiwa dan raganya sentiasa diterapkan di Universiti Lim Kok Wing, sejak awal penubuhannya lagi, 29 tahun yang lalu.

Beliau adalah antara tokoh yang membantu mengubah landskap pendidikan negara ketika bergandingan dengan beberapa orang Perdana Menteri dan pemimpin utama negara sejak negara mencapai kemerdekaan, sehingga ke hari ini.

Tergolong dalam kalangan pemimpin pendidikan yang bersifat kreatif, inovatif, analitik dan berfikiran strategik, beliau terlibat dalam gerak kerja membantu mempromosikan Malaysia dengan menganjurkan program serta kempen membina bangsa dan perpaduan.

Universiti Lim Kok Wing yang membuka cawangan di banyak negara antaranya di Afrika, United Kingdom (London), Kemboja, Jakarta, Indonesia dan di China (Beijing), sentiasa memainkan peranan besar dalam membantu mempromosikan Malaysia terutama keunikan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Keunikan yang ada di Malaysia ini tidak ada di negara lain. Ia perlu dikekalkan untuk generasi akan datang. Kami bersama-sama memainkan peranan penting untuk mempromosikan keunikan ini antaranya dengan mempromosikan melalui Limkokwing’s Cultural Festival, Malaysia Bersatu, Kempen Malaysia Boleh dan sebagainya,” tambahnya.

SYUKURI KEMERDEKAAN NEGARA

Menurut Kok Wing, kemerdekaan negara yang dikecapi sekian lama oleh rakyat negara ini perlu disyukuri dengan nilai kebersamaan serta perpaduan.

Perpaduan yang wujud hari ini melambangkan keharmonian kaum dan ia merupakan isu penting yang perlu diperjuangkan oleh semua lapisan masyrakat tanpa mengira kedudukan, bangsa dan agama.

Rakyat Malaysia, kata beliau, perlu bersyukur kerana dasar kerajaan meningkatkan nilai perpaduan dan mewujudkan masyarakat yang bersatu dan bertolak ansur, saling hormat-menghormati yang menjadi tulang belakang negara selama ini.

“Sejak lepas merdeka lagi, pemimpin negara ini sentiasa berpandangan jauh, merangka program yang boleh menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini. Walaupun ada ketikanya hubungan itu mengalami gelora tetapi masih bertahan hingga ke hari ini.

“Keadaan ini disebabkan toleransi kaum sentiasa subur yang menyebabkan kita bebas ke mana-mana sahaja tanpa ada rasa was-was serta bimbang antara satu sama lain.

“Apabila Malaya diisytiharkan merdeka pada 31 Ogos 1957, yang dilahirkan ialah sebuah negara, bukan bangsa. Begitu juga apabila Malaysia dibentuk pada tahun 1963 yang dimiliki hanyalah negara Malaysia, sedangkan bangsa Malaysia yang utuh dan bersatu masih jauh daripada terwujud, “ katanya sambil menyatakan semangat patriotisme seharusnya dipupuk sejak di tadika, sekolah hingga ke universiti.

PENDIDIKAN SEJARAH TINGKAT PERPADUAN

Justeru itu, kata Kok Wing, pembentukan bangsa atau nation building perlu diterapkan dan ia melibatkan proses yang lama dan tidak boleh dicapai dalam jangka waktu dua atau tiga puluh tahun.

Untuk itu, perpaduan masyarakat berbilang bangsa yang wujud sekarang perlu dipertingkatkan lagi ke tahap yang mampu menangkis pelbagai tekanan serta cabaran tanpa mudah tergugat dengan agenda yang mahu melihat perpecahan.

“Oleh demikian, pendidikan Malaysia perlu ditekankan dan ia adalah asas pembinaan bangsa melalui proses membentuk kesinambungan, perpaduan, negara bangsa, menggorak perubahan sosial, ekonomi bangsa dan negara serta sumber inspirasi.

“Proses kesinambungan ini dapat diperolehi melalui sejarah serta membolehkan pembinaan negara bangsa dicapai hasil penelitian terhadap kewujudan atau pembentukan masyarakat,” katanya.

Selain itu Kok Wing berkata, pendidikan sejarah juga berperanan sebagai alat penting bagi memupuk perpaduan bangsa dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini dan membina masyarakat merdeka yang bersatu padu.

“Negara bangsa Malaysia merupakan usaha menjadikan kita rakyat Malaysia yang berkongsi negara dan impian yang sama dalam mendukung agenda perpaduan negara, membolehkan masyarakat berbilang bangsa dan agama hidup bersama dalam suasana harmoni di samping mengekalkan identiti serta ciri bangsa masing-masing, “ katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas