Personaliti

Tekad Syed Azmi bantu masyarakat

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (empat kiri) melihat sisa sayur yang dikumpulkan.
- Diterbit 10 Jun 2019 6:42 AM MYT

Tekad Syed Azmi bantu masyarakat

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

MEMBANTU insan yang tidak bernasib baik menjadi matlamat lelaki ini. Bagi Syed Azmi Alhabshi, 44, pengalamannya melihat karenah birokrasi daripada pihak berkuasa menyalurkan bantuan menyebabkan dia mengambil keputusan untuk terjun dalam dunia kesukarelawan bagi membantu golongan yang tidak bernasib baik.

”Apa yang berlaku kita sebenarnya mempunyai sumber untuk membantu orang lain. Selain daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan sumber tersebut adalah tenaga kerja dan idea,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Jelas Azmi, pihak kerajaan dan NGO serta orang perseorangan yang menggerakkan aktiviti kebajikan perlu berganding bahu dalam urusan penyampaian bantuan agar semua perkara yang berkaitan dengan golongan sasar dapat diselesaikan secara bersepadu tanpa ada yang tertinggal.

Syed Azmi yang menggerakkan sebuah NGO berkata, kekangan antara kerajaan dan rakyat banyak menjadikan bantuan terputus di pertengahan jalan.

”Saya sering mengamalkan konsep untuk sedia berbincang dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan kerana apa juga mekanisme penyampaian bantuan harus dilakukan dengan lancar agar nasib golongan yang memerlukan terbela,” katanya.
Menurut Syed Azmi, dia mula terdetik untuk melakukan kerja-kerja kesukarelawan ketika bekerja di Muar, Johor kira-kira empat tahun lalu.

”Ketika bertugas agak jauh dari keluarga, bapa saya yang tinggal di Kuala Lumpur, jadi saya selalu risau tentang soal keselamatan dan kesihatannya.

”Sekiranya apa-apa terjadi, sudah pasti pihak yang perlu dihubungi adalah polis, bomba dan hospital,” katanya.

Jelas Syed Azmi lagi, ketika itu dia mula terfikir sekiranya ada apa-apa berlaku kepada keluarga, jiran adalah orang pertama yang perlu diminta pertolongan.

”Bertitik tolak dari itu, saya terpanggil untuk melakukan kebajikan kepada jiran sendiri sebelum diperluas kepada orang ramai serta terlibat aktif di dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Menurut Syed Azmi lagi, sepanjang hampir lapan tahun bergiat aktif dengan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, dia telah membantu lebih 500 buah keluarga membabitkan pelbagai masalah.

”Ada kalangan mereka mempunyai masalah penagihan dadah, masalah keganasan rumah tangga, anak-anak terbiar, masalah kehamilan luar nikah dan kemiskinan,” katanya.

Jelas Syed Azmi lagi, pihaknya mempunyai pelbagai aktiviti untuk menyantuni golongan tersebut seperti ziarah asnaf di sekitar ibu kota, menyantuni gelandangan, free market dan pelbagai lagi aktiviti bagi membantu golongan berkenaan.
Syed Azmi yang turut terlibat dalam advokasi kanak-kanak berkata, tumpuannya kini adalah membantu seramai mungkin golongan kanak-kanak agar mendapat pembelaan sewajarnya.

”Kanak-kanak merupakan golongan yang perlu diberikan perhatian khusus dari segi penjagaan kesihatan, pendidikan dan pembangunan emosi.
”Kanak-kanak terbiar di sekitar ibu kota perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan supaya nasib mereka dibela dan seterusnya dapat mengubah masa depan mereka,” katanya.

Selain itu, Syed Azmi berkata, dia meneruskan aktivitinya sebagai penasihat di Rumah Bonda iaitu NGO yang menyediakan perkhidmatan transit menjaga remaja hamil luar nikah.

”Rumah Bonda baru sahaja beroperasi di Kepong melibatkan lebih 10 orang remaja,” katanya.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Farmasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini berkata, pihaknya terbuka untuk menerima sesiapa sahaja menjadi sukarelawan di bawahnya.

”Untuk menyertai saya, mereka harus melakukan tugasan kecil iaitu perlu mengenali jiran tetangga. Sekiranya mereka telah mengenali sekurang-kurangnya 40 buah rumah, maka mereka boleh mengikuti program-program di lapangan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas