Berita

Tebus barangan harian selepas kitar semula

PENDUDUK yang menyertai Program 1 Komuniti 1 Kitar Semula
- Diterbit 5 Disember 2020 3:48 AM MYT

PROGRAM 1 Komuniti 1 Kitar Semula anjuran Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membolehkan penduduk di projek perumahan rakyat (PPR) mendapatkan barang keperluan harian.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, program dilaksanakan sebagai inisiatif untuk membantu ekonomi golongan B40 dalam menempuh kegawatan disebabkan krisis COVID-19.

Ujarnya, menerusi tukaran barangan kitar semula dengan barangan keperluan asas, penduduk sekitar dapat mengurangkan kos perbelanjaan harian.

“Selain itu, ia bertujuan untuk menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan komuniti setempat di samping memupuk semangat kerjasama dalam menjaga kebersihan serta keceriaan persekitaran kawasan perumahan,” katanya.

Terdahulu, program yang dilaksanakan di PPR Pinggiran Bukit Jalil dan PPR Salak Selatan pada 28 November lalu mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Antara barangan yang ditebus dalam program tersebut adalah gula, susu tin, tepung gandum dan minyak masak.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas