Berita

Taska berdaftar bawah JKM dibenarkan beroperasi – KPWKM

MENYEDIAKANN peluang pendidikan serta biasiswa kepada penghuni Institusi.
- Diterbit 13 Januari 2021 7:23 AM MYT

TAMAN Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan kebenaran beroperasi taska tersebut adalah selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Bagaimanapun, kebenaran beroperasi ini adalah terbatal sekiranya terdapat arahan terkini daripada pihak berkuasa,” menurut KPWKM dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas mengumumkan PKP dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah bermula hari ini hingga 26 Jan.

PKPB pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis dan Sarawak berada di bawah PKPP bagi tempoh sama.

KPWKM memberitahu setiap taska diwajibkan mematuhi Garis Panduan Pencegahan Penularan COVID-19 yang diterbitkan KPWKM serta diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semua pengusaha taska diminta memaklumkan kepada JKM mengenai rancangan beroperasi,” menurut kenyataan itu.

KPWKM memaklumkan pengusaha taska di premis kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau negeri harus memohon kebenaran daripada kementerian atau agensi berkaitan terlebih dahulu.

“KPWKM juga akan mempertingkatkan pemantauan terhadap semua taska berdaftar yang beroperasi semasa PKP bagi memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi,” menurut kenyataan itu lagi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas