Berita

Taring Harimau Malaya makin ‘tajam’

AKSI Matthew Davies ketika beraksi menentang pasukan Timor Leste dalam saingan play-off Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
- Diterbit 4 Mac 2020 4:47 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pasukan Harimau Malaya kendalian Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe dilihat mempunyai kelebihan jika beraksi dalam perlawanan peringkat antarabangsa. Ini kerana ramai pemain kebangsaan kini berada dalam skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) yang beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020.

Perkara ini turut diakui pemain pertahanan baru pasukan JDT, Matthew Davies yang menyertai Juara Liga Super musim lalu awal tahun ini.

Menurut pertahanan berusia 25 tahun itu, keserasian pemain yang terhasil dalam skuad JDT akan memberi impak positif kepada pasukan kebangsaan.

“Semakin ramai pemain pasukan kebangsaan dalam pasukan ini, lagi bertambah baik untuk skuad kebangsaan. Saya rasa ia akan memberi kesan positif untuk meningkatkan tahap keserasian antara kami dan seterusnya mencurahkan tenaga untuk Harimau Malaya,” ujarnya.

Katanya lagi, ditambah pula dengan beberapa pemain berlainan posisi daripada kelab lain juga akan mencipta kombinasi yang lebih mantap untuk membantu pasukan kebangsaan.

Matthew Davies yang mengikat kontrak bersama JDT selama tiga tahun sudahpun membuat penampilan sulungnya bersama skuad JDT pada aksi Piala Sumbangsih menentang pasukan Kedah yang menyaksikan pasukan JDT menang 1-0 menerusi jaringan Mauricio Dos Santos Februari lalu.

Harimau Malaya yang kini menghuni ranking ke-154 dunia, kini menduduki tempat kedua kumpulan dengan 9 mata selepas 5 perlawanan dilihat berpeluang cerah mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China jika meraih keputusan positif baki 3 perlawanan peringkat kumpulan.

Sebagai rekod, kali terakhir pasukan Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia adalah pada edisi 2007, selaku tuan rumah bersama tiga negara ASEAN iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas