Berita

Tarikh pembukaan Fasa Satu MRT laluan Putrajaya ditunda November

TARIKH baharu itu dipilih untuk dilaksanakan dalam Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara ketika ekonomi negara diharapkan dibuka sepenuhnya dan acara pelancaran boleh berlangsung. Kredit foto: mymrt
- Diterbit 7 Julai 2021 8:42 AM MYT

MASS Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memutuskan untuk meminda tarikh pembukaan Fasa Satu MRT Laluan Putrajaya yang dijadualkan pada Ogos ini ke pertengahan November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim berkata tarikh baharu itu dipilih untuk dilaksanakan dalam Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara ketika ekonomi negara diharapkan dibuka sepenuhnya dan acara pelancaran boleh berlangsung.

Beliau berkata tahap kemajuan untuk fasa satu antara Stesen Kwasa Damansara dan Stesen Kampung Batu adalah 99 peratus manakala pembinaan MRT Laluan Putrajaya sedang berjalan lancar dan kini telah melepasi tahap 90 peratus siap keseluruhan.

Bagaimanapun, katanya, MRT Corp memutuskan untuk melanjutkan tempoh operasi percubaan bagi memastikan pengendali mencapai tahap kecekapan yang diperlukan dan pada masa ini operasi percubaan yang bermula pada 29 April lepas sedang dilakukan oleh pengendali di sepanjang bahagian itu.

“Jadual latihan asal telah terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang sedang dikuatkuasakan dikebanyakan wilayah Selangor dan lokasi terpilih di Kuala Lumpur,” katanya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas