Berita

Tapak pembinaan diserbu

OP BERSEPADU DBKL
DBKL menampal notis kompaun di salah sebuah tapak pembinaan yang diperiksa semasa Operasi Tapak Bersepadu semalam.
- Diterbit 28 November 2019 4:00 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan tiga notis kompaun ke atas pemaju selepas kerja-kerja di tapak pembinaan yang dijalankan tidak mematuhi syarat kelulusan perintah pembangunan dan kawalan vektor.

DBKL dalam satu kenyataan memberitahu, penguatkuasaan tersebut dilakukan semasa ‘Operasi Tapak Bersepadu’ di Jalan Kuchai Maju, Kuchai Lama di sini semalam.

“Tindakan dilakukan di bawah kesalahan dan peruntukan undang-undang Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta mengikut bidang kuasa agensi terlibat.

“Seramai 50 orang pekerja pembinaan telah di tahan dan diperiksa bagi memastikan tiada kesalahan melanggar syarat permit pekerjaan atau tiada pasport,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut DBKL, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut mengeluarkan satu notis Menghapus Bahaya Kebakaran.

Jentik-jentik turut ditemui di salah sebuah tapak pembinaan yang diperiksa semasa Operasi Tapak Bersepadu semalam.

Tegasnya, operasi bersepadu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, operasi yang dijalankan DBKL adalah menerusi Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Perancangan Infrastruktur, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar dan Pejabat Cawangan Lembah Pantai.

Turut sama terlibat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JBPM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas