WK2

Tanaman getah dan padi gamit memori

KAKITANGAN PPj sedang mendemonstrasikan cara menoreh pokok getah. KAKITANGAN PPj sedang
- Diterbit 8 Januari 2022 1:00 AM MYT

BERPELUANG mengikuti sesi lawatan ke Taman Warisan Pertanian, Putrajaya baru-baru ini, penulis berasa cukup teruja kerana ia seolah-olah menggamit memori waktu penulis kecil dahulu ketika di kampung halaman yang terletak di Pahang.

Sambil berjalan menjelajah kawasan taman tersebut seawal pukul 9 pagi, penulis dapat melihat serta merasai suasana nyaman sambil melihat angsa berlari-lari dan ikan air tawar seperti tilapia, lampam dan sebagainya berenang bebas.

Bagi penulis, semua lokasi yang terdapat di taman tersebut mempunyai tarikannya yang tersendiri. Namun yang paling memikat hati adalah tanaman getah yang berkeluasan sembilan ekar.

Plot getah yang terdapat di dalam dusun ini merupakan kawasan asal ladang getah Estet Prang Besar iaitu tapak awal sebelum pembangunan Putrajaya. Ladang getah ini mengandungi plot getah asal serta tanaman semula yang mengandungi 1, 500 pokok getah dewasa dari 71 klon.

Teringat waktu kecil dahulu penulis pernah mengikuti arwah nenek pergi menoreh getah. Kenangan tersebut kembali mengimbau memori lebih-lebih lagi disini turut terdapat bangsal memproses getah keping.

Ia digunakan sebagai demonstrasi menoreh, memungut lateks, memproses menjadi kepingan getah dan memasukkan ke dalam rumah asap bagi dijadikan getah keping.

Selain itu, penulis juga gembira kerana berpeluang melihat tanaman padi. Biarpun kawasannya terhad namun lengkap dengan tiga keadaan iaitu padi yang sedang menghijau, baru ditanam serta sedang masak.

Selain itu, jualan produk agro dan pertanian dengan harga yang berpatutan begitu menarik perhatian penulis lebih-lebih lagi kerana rasa
buah-buahannya yang manis dan segar.

Dapat penulis simpulkan di sini, orang ramai wajib datang ke sini bagi merasai sendiri keindahan dan ketenangan desa lebih-lebih lagi mereka yang tidak lagi mempunyai kampung halaman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas