WK2

Taman Warisan Pertanian diberi nafas baharu ketengahkan budaya setiap negeri

penanaman nanas. |||SUASANA pada waktu malam lebih mempersonakan||SUASANA makan di rumah pekebun kecil yang akan
- Diterbit 8 Januari 2022 1:00 AM MYT

BIARPUN dikenali sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, namun di sebaliknya Putrajaya turut memiliki taman-taman indah yang begitu mendamaikan persis desa yang dirindui perantau di kota.

Antara destinasi yang menarik untuk diketengahkan adalah Taman Warisan Pertanian yang terletak di Presint 16, Putrajaya. Berkeluasan 35 ekar, keunikannya terletak pada ciri-ciri senibina Tradisional Melayunya.

Taman yang diambil alih oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) awal tahun ini diberi nafas baharu dan bakal dibuka semula kepada para pengunjung dengan pelbagai tarikan menarik pada Februari ini.

Menurut Naib Presiden Landskap dan Taman, Abdul Aziz Buang, keutamaan di sini adalah konsep tumbuh-tumbuhan komoditi seperti getah, kelapa sawit, lada hitam serta buah-buahan antaranya durian, rambutan, ciku dan sebagainya.

“Pengunjung boleh merasai sendiri kemanisan buah-buahan yang terdapat di sini menerusi pakej bersiar-siar sambil diberi penerangan tentang buah-buahan tempatan yang ditanam kerana terdapat kira-kira 180 spesis.

“Bila mereka ikut pakej berpandu yang kita ketengahkan dengan harga yang berpatutan, mereka boleh memetik buah dan merasai sendiri kemanisannya tapi semuanya bergantung kepada musim juga,” ujarnya.

Tambahnya lagi, biasanya pelancong dari luar negara begitu meminati sesi jelajah ke seluruh taman ini memandangkan mereka teruja dengan tanaman serta buah-buahan yang terdapat di Malaysia.

ABDUL AZIZ (kanan) melihat kawasan yang dikhaskan untuk penanaman nanas.

Bercerita lanjut tentang taman ini, kedatangan pengunjung disambut oleh tiga jenis tumbuhan iaitu sireh, pokok susun kelapa dan pokok limau yang ditanam berhampiran laluan tangga ke Kompleks Pelawat sebagai simbolik kepada kaum Melayu, India dan Cina.

“Menariknya sebelum memulakan sesi penjelajahan, pengunjung dapat menikmati aneka hidangan serta minuman yang disediakan di sekitar kawasan Penanggah. Konsep tempat makan ini adalah citarasa juadah dari setiap negeri di Malaysia.

“Terdapat lebih 20 buah gerai makanan yang akan menyajikan masakan yang enak pada setiap hari bermula seawal 8.30 pagi hingga 11 malam serta kedai serbanika yang menempatkan cenderamata dan sebagainya,” ujar beliau kepada Wilayahku.

SUASANA makan di rumah pekebun kecil yang akan disediakan menerusi pakej tertentu.

Tidak sah seandainya pengunjung tidak berhenti seketika di pelantar pemandangan yang terdapat di sini bagi menikmati pemandangan indah panorama Putrajaya dari atas bukit.

“Dari sini kita akan dapat melihat lokasi tumpuan di Putrajaya seperti Masjid Putra, Dataran Putra, Kompleks Kerajaan Persekutuan serta Taman Putra Perdana sambil berkesempatan merakam foto,” ujarnya lagi.

JEJAK MALAM

Aktiviti yang pasti ditunggu-tunggu oleh pengunjung adalah jejak malam dengan kumpulan kecil sekitar 20 orang.

Laluan berpandu ini membolehkan pengunjung merasai suasana angin malam yang nyaman.

“Sama seperti jejak ketika waktu siang bezanya pada malam hari suasana lebih indah dengan pencahayaan lampu. Kalau duduk atas bukit
tu, pemandangan lebih menakjubkan selain daripada cuaca lebih sejuk berbanding siang yang agak panas.

SUASANA pada waktu malam lebih mempersonakan.

“Kita juga menambah lampu bawah pokok untuk memberikan kesan lebih dramatik kepada pengunjung. Apabila ia dimulakan kelak saya pasti sambutan yang diterima amat menggalakkan,” ujar beliau.

Pengunjung yang singgah ke rumah pekebun kecil yang merupakan replika sebuah rumah Melayu yang dikelilingi taman herba berpeluang berehat sebentar sambil melakukan aktiviti berkumpulan.

“Sambil melepaskan lelah, di sini mereka dapat berehat sebentar sambil berbeku menikmati keenakan ayam panggang dan sebagainya sambil bergurau senda dengan rakan-rakan yang lain sebelum meneruskan perjalanan pulang.

“Saya pasti ini akan menjadi momen yang indah dan akan dirindui. Tidak mustahil mereka akan kembali untuk merasai lagi suasana seperti itu pada masa akan datang,” ujar Abdul Aziz lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas