Berita

Taman Tasik Titiwangsa ditutup pada Jumaat

TAMAN TASIK TITIWANGSA
TAMAN Tasik Titiwangsa menjadi antara kawasan rekreasi tumpuan ramai di ibu kota.
- Diterbit 5 Ogos 2020 9:21 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup Taman Tasik Titiwangsa pada Jumaat ini bagi memberi laluan kepada acara Transformasi Tasik Titiwangsa.

DBKL dalam kenyataan memberitahu acara itu merupakan satu majlis tertutup, dan orang ramai boleh menyaksikannya secara langsung di laman Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan mulai pukul 8.00 malam.

“Penutupan kepada orang awam adalah bagi membolehkan acara berkenaan yang dilaksanakan secara langsung di Facebook dapat dilakukan dengan lebih efektif,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, DBKL dalam kenyataan berasingan berkata ia telah melakukan operasi sanitasi kemudahan awam di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur dari pukul 5.00 hingga 7.00 petang, semalam.

Menurutnya lokasi yang terlibat adalah jejantas laluan pejalan kaki Pudu Raya dan sekitarnya, serta jejantas dan hentian bas sekitar Velodrom Cheras.

“Operasi ini dilakukan secara berkala oleh DBKL. Ia dilakukan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di lokasi tumpuan awam selain memberi keyakinan kepada orang awam untuk menggunakan kemudahan itu,” menurut kenyataan itu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas