Berita

TalentCorp sumbang 100 komputer riba untuk pelajar di Tapah

SUMBANGAN alatan pembelajaran digital yang dapat menyokong proses pembelajaran mereka.
- Diterbit 7 Jun 2022 4:02 AM MYT

ADALAH penting bagi pelajar untuk mempunyai akses kepada peluang pembelajaran digital ketika dunia bergerak ke arah digitalisasi, atas sebab itu, Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) hari ini menyumbangkan 100 komputer riba kepada 100 pelajar B40 di Tapah untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah mereka.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan ketika majlis penyerahan berkata sumbangan tersebut adalah selari dengan aspirasi kerajaan untuk merapatkan jurang digital khususnya buat mereka yang berpendapat rendah.

“Program CSR ini, selain dari memberi khidmat kepada masyarakat juga selaras dengan aspirasi kerajaan Malaysia merapatkan jurang digital untuk semua rakyat Malaysia dan meningkatkan kebolehpasaran anak muda, khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Usaha ini bertujuan memastikan para pelajar bersedia untuk menghadapi persekitaran kerja pasca pandemik COVID-19, melalui sumbangan alatan pembelajaran digital yang dapat menyokong proses pembelajaran mereka sepanjang hayat,” katanya ketika majlis penyerahan yang berlangsung di Tapah.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp , Thomas Mathew berkata sebagai agensi Kementerian Sumber Manusia yang di amanahkan untuk memacu strategi bakat negara, mereka komited untuk memajukan agenda kebolehpasaran siswazah di Malaysia.

“Pelbagai inisiatif kami untuk bakat muda termasuk platform pemprofilan sehenti mynext, Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) dan Young Employable Students (YES!) merupakan pelaburan usaha strategik kami untuk membina saluran paip bakat bagi memenuhi keperluan bakat DDI dan FDI yang akan datang.

“TalentCorp turut bertanggungjawab melalui mandatnya untuk menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan dan kepakaran terbaik dalam menyokong perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju. Usaha TalentCorp ini turut menjalin kerjasama rapat dengan pelbagai kementerian, pihak berkepentingan industri dan institusi pendidikan melalui inisiatif yang memfokuskan kepada 3 tawaran perkhidmatan utama Pengagihan, Kepelbagaian dan Mobiliti modal insan di Malaysia,” jelasnya.

Selain itu, TalentCorp turut menganjurkan ceramah kerjaya untuk pelajar dengan menjemput wakil-wakil dari institut pengajian tinggi Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak; Universiti Teknologi PETRONAS dan Kolej Komuniti Tapah untuk berkongsi tawaran yang diberikan institusi masing-masing.

Pasukan mynext TalentCorp turut menganjurkan pameran untuk para pelajar mempelajari tentang platform profil sehenti mynext di mana bakat boleh menemui nilai kerja mereka, minat, ciri yang boleh diambil untuk bekerja dan disambungkan terus ke latihan industri. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas