Berita

TalentCorp akan terus giat perkasakan wanita

|
- Diterbit 15 Ogos 2022 7:20 AM MYT

TALENT Corporation Malaysia (TalentCorp) akan terus giat peningkatan budaya kepelbagaian, ekuiti serta keterangkuman atau D-E-I (Diversity, Equity and Inclusion) dalam usaha memacu pemerkasaan wanita di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Thomas Mathew berkata ia amat penting bagi menyediakan persekitaran kerja yang kondusif, menyokong dan mengupayakan wanita agar dapat menyumbang potensi sama rata dengan lelaki dalam dunia kerjaya.

Usaha ini katanya selaras dengan mandat TalentCorp di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk menarik, memupuk dan mengekalkan bakat yang terbaik tanpa mengira jantina, serta memenuhi keperluan industri.

“TalentCorp juga berperanan untuk mengemudi agenda nasional untuk pemerkasaan ekonomi kumpulan bakat yang kurang diwakili dan kurang dimanfaatkan (underrepresented and underutilised) – terutamanya golongan wanita.

“Ini dicapai melalui beberapa inisiatif utama, termasuk program latihan ‘Career Comeback’; amalan keseimbangan kehidupan bekerja atau ‘work-life practices’; Majlis Pakar Agenda Wanita atau Women Agenda Council of Experts; dan Program ‘YES! Women’ serta ‘YES! Rock The School’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian National Diversity Summit and Women Career Convention 2022 ataupun NDS dan WCC 2022.

Dengan program NDS dan WCC yang dilancarkan hari ini, beliau menegaskan TalentCorp komited untuk memupuk penglibatan wanita dalam tenaga kerja Malaysia dan memberi perhatian yang lebih besar kepada cabaran yang masih dihadapi oleh wanita di tempat kerja.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan pasaran buruh Malaysia bebas daripada diskriminasi dan peminggiran, selaras dengan visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Kami juga berharap bahawa syarikat-syarikat di Malaysia akan terus meningkatkan usaha dan komitmen untuk membangunkan tenaga kerja dan tempat kerja yang mengutamakan kepelbagaian, inklusiviti serta kesaksamaan,” katanya.

Dalam pada itu Mathew berkata pencapaian dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara amat signifikan bukan sahaja aspek sosial, malah merangkumi semua aspek pembangunan negara termasuk ekonomi dan politik.

Hal ini katanya dapat dilihat melalui peningkatan skor tahunan negara dalam Global Gender Gap Index oleh World Economic Forum.

“Saya berharap semua pihak berkepentingan boleh bersama-sama berganding bahu supaya kerajaan boleh mencapai 59 peratus penyertaan wanita dalam pasaran kerja pada tahun 2025 seperti yang diperincikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas