Berita

“Tak Salah Pun Kahwin Janda Ramai Anak” – HUQUM

|
- Diterbit 17 Ogos 2020 11:40 PM MYT

PENYANYI Rap muda berbakat besar, Ahmad Huqum Hassan,29, berpendapat tidak salah pun lelaki muda mengahwini wanita janda atau ibu tunggal yang mempunyai ramai anak. 

Huqum berkata demikian apabila ditanya tentang lagunya berjudul Salam Perkenalan yang mengaitkan isu kehidupan ibu tunggal.

“Antara isu yang saya bangkitkan dalam lagu Salam Perkenalan ini adalah kisah cinta janda atau ibu tunggal yang menjalani kehidupan tanpa suami di sisi.

“Iyalah… saya sendiri mahukan mesej-mesej positif dalam lagu yang saya cipta sendiri ini. Jadi isu ini adalah sesuatu yang sering dibualkan dalam masyarakat kita,” katanya kepada Wilayahku. 

HUQUM mahu menyampaikan mesej-mesej positif menerusi lagunya Salam Perkenalan. Foto: Amin Farij Hassan

Dalam pada itu, Huqum jugak tidak menolak andai dia bertemu jodoh dengan wanita berstatus janda yang mempunyai anak.

“Cinta itu sukar diduga. Kadang-kadang kita mahukan seorang gadis untuk dijadikan isteri, tapi belum tentu kita bahagia. 

“Jadi, bagi saya cinta itu tidak mengenal status. Tak salah pun kahwin janda ramai anak. Betul tak? Kebahagiaan itu terletak di hati dan bagaimana kita mengemudi rumah tangga tersebut.

“Itu hanyalah pendapat saya. Saya pun belum kahwin dan masih solo tanpa kekasih. Bukan tak mahu, cuma biarlah is datang sendiri tanpa dipaksa,” luah Huqum lagi yang berharap lagunya Salam Perkenalan diterima peminat.

https://youtu.be/dR5GLubv2Pw

Huqum yang merupakan penyanyi bawah Aci-Aci Buka Pintu Entertainment ini mahu mencontohi penyanyi rap hebat lain seperti SonaOne dan Joe Flizzow dalam berkarya.

“Mereka adalah antara penyanyi rap yang dihormati kerana sering menyampaikan mesej positif kepada masyarakat. 

“Mereka tidak mengejar populariti sebaliknya ia datang seiring dengan karya yang dibawa.

“Saya juga banyak menekankan mesej yang berguna dan menggunakan Bahasa Melayu yang sebetulnya dan bukan bahasa rojak,” jelas Huqum yang bakal muncul dengan lagu baharu berjudul Tak Ku Mampu. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas