Berita

Wartawan hiburan kritikal di London, Fahmi minta bantuan Tabung Kasih@HAWANA disalurkan segera

- Diterbit 28 Disember 2023 8:30 PM MYT

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil meminta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk menyalurkan bantuan kewangan segera menerusi Tabung Kasih@HAWANA kepada wartawan hiburan Siti Nor Hafiza Kamarudin yang dilaporkan kritikal di sebuah hospital di London.

Fahmi dalam catatan menerusi Facebook beliau hari ini berkata bantuan berkenaan juga akan disalurkan kepada suami dan anak-anak wartawan itu.

“Saya mengikuti rapat perkembangan saudari Fiza yang kini kritikal di sebuah hospital di London.

“Di pihak Kementerian Komunikasi, kami turut mendoakan beliau sembuh dan dipermudahkan segala urusan. Amin,” katanya.

Siti Nor Hafiza, 40, kini dirawat di Hospital Charing Cross, London selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, semalam untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti.

Wartawan portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media itu terpilih menerima tajaan pakej melancong bersama keluarga ke London dan berlepas bersama suami dan dua cahaya matanya pada pertengahan bulan ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas