Fokus

Warisan yang tidak pernah lapuk

Kredit foto: SYUQQREE DAIN / WILAYAHKU
- Diterbit 8 Disember 2023 4:10 AM MYT

BULUH merupakan antara tanaman yang mempunyai pelbagai kegunaan zaman- berzaman. Misalnya, satu ketika dahulu, ia adalah bahan utama dalam seni bina rumah.

Kemahiran dan kreativiti masyarakat tradisi dalam membilang dan menyusun bilah buluh tidak dapat dinafikan lagi. Mereka turut menguasai teknik menganyam dan meraut.

Dalam masa yang sama, pelbagai produk kraf tangan berjaya dihasilkan antaranya bakul, dulang, nyiru dan tudung saji sekali gus membantu mereka menjana pendapatan.

Menyedari tentang hasil seni yang boleh meningkatkan taraf kehidupan masyarakat, pelbagai kursus dianjurkan pihak kerajaan antaranya Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) yang merupakan inisiatif Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).

Program ini menyasarkan penglibatan peserta yang terdiri daripada golongan belia, asnaf, Orang Kurang Upaya (OKU), penganggur, suri rumah termasuk golongan berpendapatan rendah (B40).

Terbaharu, seramai 15 peserta diberi pendedahan dan latihan praktikal tentang proses penghasilan, pembuatan dan pengeluaran produk kraf bagi anyaman buluh kelarai di Pusat Kraf Simpang Pertang, Jelebu, Negeri Sembilan.

Inkubator Pusat Kraf Simpang Pertang, Muhammad Hafizul Husin berkata anyaman buluh kelarai dihasilkan daripada buluh akar yang diambil di hutan dan kebanyakannya dihasilkan oleh golongan wanita menggunakan tangan.

“Untuk anyaman kelarai tidak semua buluh boleh digunakan. Biasannya kami akan gunakan buluh akar di mana buluh ini tidak boleh dekat dengan air. Kedudukannya mesti di atas bukit, jika ia mengandungi banyak air akan menyebabkan sukar dianyam dan mendapat bentuk yang sepatutnya.

“Secara ringkasnya, buluh tersebut akan melalui proses dipotong, dibuang durinya, diwarna, dijemur dan akhirnya dianyam dengan pelbagai corak,” katanya sesetengah individu mampu menyiapkan tiga anyaman dalam satu hari.

Berkongsi lanjut kepada Wilayahku, Hafizul berkata anyaman kelarai dipecahkan kepada empat jenis iaitu tumbuhan, nama manusia, haiwan dan abstrak.

“Motif antara corak yang sering dihasilkan adalah seperti bentuk bunga seperti cengkih, cempaka, melur dan tanjung,” ujarnya yang pernah menerima tempahan 600 unit kelarai siku kelawang daripada Raja Permaisuri Agong untuk dijadikan sebagai cenderahati majlis.

Bagi salah seorang peserta program, Puziah Abdul Manaf, 63, teknik membuat dulang bukanlah satu perkara yang mudah baginya kerana dia perlu menghafal ukuran saiz yang ditetapkan.

“Perkara paling utama adalah menentukan saiz lebar dan panjang dulang ini dan bahan-bahan yang digunakan adalah buluh yang telah disiat daripada batang buluh tersebut,” katanya.

Batik blok

Selain anyaman peserta juga didedahkan dengan cara membuat batik blok yang menggunakan teknik terap atau cap. Ini merupakan teknik terawal digunakan di Malaysia bagi penghasilan batik.

Bahan-bahan yang digunakan adalah blok yang diperbuat daripada besi atau tembaga. Pelbagai sumber mengatakan blok yang diperbuat daripada logam akan menghasilkan terapan yang lebih halus, cantik dan kemas.

Berkongsi pengalaman mempelajari seni tersebut, Ramiza Muyup, 46, berkata kayu blok yang bercorakkan bunga lada digunakan sekali gus melambangkan bunga identiti Negeri Sembilan.

“Antara bahan-bahan yang digunakan adalah lilin, damar, kain dan warna. Kepingan lilin dan damar yang telah dikeraskan dimasak dengan api yang panas supaya ia mudah ditekap. Sementara itu, di bawah kain tekapan akan diletakkan span lembap supaya hasilnya lebih cantik.

“Dari segi corak pula, Negeri Sembilan menggunakan corak bermotifkan bunga lada yang melambangkan keunikan negeri ini selain sinonim dengan juadah masak lemak cili api,” katanya.

Pembantu Pegawai Latihan, Nur Asmira Abdul Manaf berkata projek tersebut melibatkan seramai 15 peserta yang terdiri daripada penjahit baju yang diberi pendedahan dalam aspek teknikal dan fizikal.

“Mereka boleh mempelajari teknik menghasilkan pakaian, seluar dan sebagainya melalui bengkel ini dan rata-ratanya sudah mampu menghasilkan produk tersebut,” ujarnya produk yang dihasilkan turut dijual di My Craft Shope. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas