Berita

Visa lelaki Sepanyol dibatalkan kerana tidak isytihar bawa daging

- Diterbit 16 Januari 2023 10:16 AM MYT

SEORANG lelaki Sepanyol berusia 20 tahun menjadi pelawat pertama dibatalkan visa oleh Australia kerana membawa masuk daging dan keju yang tidak diisytiharkan mengikut undang-undang biosekuriti yang ketat.

Jabatan Pertanian, Air dan Alam Sekitar pada Isnin berkata visa lelaki itu telah dibatalkan dan didenda 3,300 dolar Australia (AS$2,300) selepas seorang pegawai di Perth menemui lebih satu kilogram daging babi mentah dan keju yang tidak diisytiharkan di dalam bagasinya pada Selasa, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Pegawai menemui 275 gram pancetta babi bukan komersial, 665 gram daging babi bukan komersial dan kira-kira 300 gram keju kambing yang tidak diisytiharkan, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

“Saya harap lelaki ini menyesali akan tindakannya – lawatan ke Australia berakhir sebelum ia bermula, dan didenda sebelum dihantar pulang,” kata Menteri Pertanian Murray Watt.

“Perbuatan ini merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang biosekuriti Australia dan boleh meletakkan industri pertanian Australia dalam risiko,” kata menteri itu sambil menegaskan bahawa peraturan ketat itu juga merupakan usaha negara itu untuk menghindar penyakit seperti penyakit kaki dan mulut di negara itu.

Kerajaan Perdana Menteri Anthony Albanese pada Oktober mengumumkan tindakan yang lebih tegas ke atas pelawat yang gagal mengisytiharkan barangan berisiko biosekuriti bagi menghentikan penyakit dan perosak daripada memasuki dan bertapak di Australia. Perubahan itu berkuat kuasa pada awal Januari.

Australia mempunyai antara peraturan biosekuriti yang paling ketat di dunia.

“Pelawat yang visa mereka dibatalkan diusir keluar dari Australia menggunakan penerbangan paling awal yang tersedia dan permohonan visa mereka akan digantung selama tiga tahun,” menurut kementerian. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas