Berita

Usir pelaku tidak bertanggungjawab – penduduk PPR

BUMBUNG parkir motosikal berlubang selepas ditimpa sampah seberat tujuh kilogram yang dicampak dari
- Diterbit 11 Disember 2020 5:16 AM MYT

BERANG dengan perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir penghuni yang membuang sampah dari tingkat atas, persatuan komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri menggesa tindakan pengusiran dikenakan terhadap pelaku.

ZAMANHURY

Salah seorang komuniti Blok A PPR Intan Baiduri, Zamanhury Ezin berkata, tindakan tegas seumpama itu perlu dilakukan sebelum kejadian meragut nyawa berlaku di kawasan perumahannya.

Ujarnya, dengan langkah itu juga, penduduk bukan hanya berasa takut untuk membuang sampah merata-rata tetapi dapat menjadikan kawasan sekitar bersih dan selamat.

“Saya berharap individu yang mencampak sampah dari tingkat atas diusir daripada kawasan perumahan ini. Ia juga akan menjadi pengajaran kepada komuniti lain.

“Perbuatan demikian sangat membahayakan nyawa terutama kanak-kanak yang lalu-lalang di bawah.

“Bayangkan sampah yang dibaling pada awal pagi Selasa lalu mengakibatkan bumbung berlubang. Beban dianggarkan seberat enam hingga tujuh kilogram,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Menceritakan tentang insiden tersebut, ujar Zamanhury, dia dan beberapa jemaah lain  terkejut apabila melihat bumbung di parkir motosikal berlubang di samping selonggok sampah yang bersepah.

Ujarnya, bagi mengetahui siapa pelaku, dia meminta pekerja pembersihan membuka plastik sampah dan menemui plastik pembungkusan barangan pos.

Ekoran itu, katanya, ‘pemilik’ sampah dihubungi bagi mengetahui kejadian sebenar, namun dia menafikan perbuatan tersebut.

Seorang lagi penduduk, Abdullah Abdul Wahab memberitahu, sepanjang mendiami perumahan Intan Baiduri sejak berbelas tahun lalu, kejadian campak sampah dari tingkat atas sentiasa berlaku.

“Tetapi belum pernah berlaku kemalangan jiwa atau mengakibatkan kematian.

“Saya bimbang sekiranya kejadian seumpama itu berterusan, tidak mustahil akan terkena penghuni yang berada di bawah,” katanya.

Dalam pada itu, Abdullah berharap, kamera litar tertutup (CCTV) dapat dipasang di kawasan terbuka sekali gus memudahkan pelaku yang mencampakkan sampah dikenal pasti.

Tambahnya, ia membolehkan tindakan lanjut diambil dan mencegah kegiatan tidak bermoral daripada terus berlaku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas