Berita

Ujana Kewangan lokasi tumpuan hari terakhir disinfeksi

PETUGAS bersiap sedia melakukan kerja-kerja disinfeksi di Ujana Kewangan Labuan.
- Diterbit 4 April 2020 4:12 PM MYT

LABUAN – Bangunan mercu 17 tingkat Kompleks Ujana Kewangan Labuan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan hotel lima bintang Dorsett Hotel menjadi tumpuan hari terakhir proses disinfeksi bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Agensi seperti Perbadanan Labuan (PL), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan dan Jabatan Kesihatan Labuan memulakan kerja-kerja disinfeksi selama enam hari bermula Isnin lalu melibatkan tempat umum yang sering dikunjungi orang awam.

KERJA-KERJA disinfeksi dilakukan di kawasan tempat letak kenderaan di Ujana Kewangan, Labuan.

Antara tempat tumpuan yang telah menjalani proses disinfeksi ialah Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan termasuk Pasar Sentral UTC, Lapangan Terbang Labuan, terminal Feri Kenderaan Ro-Ro Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan serta kawasan yang menempatkan pelbagai bank dan pasar raya.

Proses disinfeksi juga telah dijalankan di Masjid Sultan Muhammad V (Masjid Al-Mahmudiyyah) di Kampung Lajau yang dilaporkan pernah dikunjungi jemaah tabligh yang positif wabak berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail berkata, perbincangan akan dibuat dari semasa ke semasa bersama JBPM dan Jabatan Kesihatan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan untuk dijalankan disinfeksi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas