Berita

Tourism Malaysia anjur lawatan pelancongan bersama peminat fotografi

HIDAYAH ( tiga dari kanan) bersama-sama 11 jurugambar merakamkan gambar kenangan dengan membelakangi pemandangan Gunung Kinabalu.
- Diterbit 11 September 2021 6:00 AM MYT

SEMPENA Wilayah Persekutuan Labuan memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat, Pusat Penerangan Pelancongan Labuan Tourism Malaysia menganjurkan program lawatan ke tempat pelancongan tempatan bersama peminat seni fotografi di pulau itu.

Lawatan selama dua hari itu memfokuskan usaha mempromosikan tempat-tempat pelancongan di sekitar pulau itu.

Seramai 11 jurugambar serta mendapat sokongan dari Anak Jati Keluarga dan Komuniti Tanjung Aru Nelayan.

Pengarah Negeri Tourism Malaysia Sabah, Mohd Faharuddin Hatmin berkata, program itu bertujuan bagi usaha mempromosikan tempat-tempat pelancongan di
sekitar Labuan dengan suasana norma baharu.

“Orang ramai diseru agar segera mendapatkan suntikan vaksin bagi mencapai imuniti kelompok seterusnya membantu mempercepatkan gelembung pelancongan dan dapat menikmati kelebihan melancong seperti di Labuan,’’ katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Labuan, Nor Hidayah Mohd Nor berkata, program itu merupakan salah satu usaha mempromosikan Labuan sebagai satu destinasi yang dapat menawarkan pemandangan menawan matahari terbit dan keanggunan matahari terbenam dalam satu tempat disamping
pelbagai lokasi pelancongan.

“Diharapkan dengan program seperti ini dapat mempamerkan bahawa Labuan mempunyai banyak lokasi menarik terutamanya bagi peminat seni fotografi.

Jelas Hidayah, usaha promosi itu mampu mewujudkan persektif yang baik kepada masyarakat dalam dan luar terhadap pelancongan yang terdapat di Labuan.

“Dan sekaligus menghapuskan persepsi masyarakat luar yang menganggap Labuan dapat diterokai dalam masa satu hari sahaja,” katanya lagi. – WILAYAHKU –

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas