Berita

Tiong nafi minum arak, makan daging babi di pejabat

- Diterbit 6 Januari 2024 12:05 PM MYT

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mencabar pihak yang menyebarkan fitnah menerusi aplikasi WhatsApp yang menuduh beliau meminum arak dan memakan daging khinzir di pejabat, untuk tampil dan bersemuka dengannya.

Menerusi kenyataan di Facebook, Tiong berkata beliau tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan fitnah seperti itu tidak berlanjutan dan berulang pada masa depan.

“Tuduhan yang tidak berasas seperti ini mesti dikutuk sekeras-kerasnya. Saya selalu menghormati semua kumpulan etnik dan agama yang ada di Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

“Apa yang jelas, mereka yang sengaja memburukkan nama saya berhubung perkara ini dilihat cuba mencetuskan ketegangan kaum,” katanya.

Dalam kenyataan itu, beliau turut meminta pihak yang membuat tuduhan tersebut agar mendedahkan identiti mereka, jika perkara itu benar dan mengingatkan setiap pihak agar tidak mewujudkan konflik perkauman serta kebencian demi kepentingan peribadi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas