Artikel

Tindakan atasi banjir, warga kota lega

ANTARA usaha dilakukan bagi mengekang banjir dengan penyediaan kolam tadahan banjir dan juga terowong SMART.
- Diterbit 21 Mei 2022 3:30 AM MYT

SETIAP kali hujan lebat di Kuala Lumpur, kebimbangan melanda warga kota. Dalam minda mereka terbayang banjir akan melanda berdasarkan pengalaman sebelum ini di mana hujan lebat menyaksikan ibu kota dilimpahi air.

Sebelum ini ketika banjir berlaku, ibu kota dan beberapa kawasan di negeri jiran Selangor seperti Taman Seri Muda, teruk ditenggelami, mengembalikan kenangan banjir besar yang melanda ibu negara pada 1971.

Ada yang terkorban nyawa dalam kejadian ini selain kerosakan harta benda, termasuk kenderaan yang musnah sama sekali ditenggelami air. Jalan raya dan lebuh raya terputus hubungan, ramai terkandas.

Banyak rumah yang musnah atau rosak teruk dibawa lari arus deras. Strukturnya tidak dapat menahan aliran air yang begitu kuat, membawa bersamanya apa juga yang menghalang laluan.

Pada hemat Adi, peristiwa ini memberi pengalaman pahit yang menakutkan kepada warga kota. Ketakutan ini bertambah apabila beberapa kejadian hujan lebat selepas itu juga menyaksikan bandar raya terus diancam oleh banjir kilat di beberapa kawasan tertentu di ibu kota.

Kerana itulah pada waktu ini apabila guruh berdentum dan hujan mencurah semakin lebat, warga kota diresapi kebimbangan kawasan mana pula akan ditenggelami banjir. Apa pula harta benda yang mungkin rosak binasa.

Mereka bimbang jika ditimpa musibah ini, betapa sukar untuk menghadapi. Jika rumah kediaman rosak binasa bukan mudah untuk dibaiki atau didirikan semula. Jika kenderaan ditenggelami air, bukan murah kos untuk memperbaiki.

Malah kemungkinannya kenderaan itu tidak boleh dibaik pulih atau ‘total loss’. Tentulah lebih perit terasa jika kenderaan tersebut tidak dilindungi oleh insurans. Membeli yang baharu bukan murah.

Justeru Adi sering mendengar luahan rasa warga kota yang ingin tahu tidak adakah apa-apa langkah diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan, dan dalam hal ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bagi mengatasi masalah banjir berterusan? Mereka mahu kegusaran mendapat jawapan.

Warga kota berharap jika langkah jangka panjang mengatasi masalah ini tidak dapat dilaksanakan segera kerana mengambil masa, sekurang-kurangnya ada pendekatan jangka pendek diambil sementara menunggu penyelesaian lebih tuntas dan menyeluruh.

Kerana itu warga kota gembira dan menyambut baik rancangan DBKL untuk melaksanakan beberapa pendekatan jangka pendek bagi mengatasi banjir di ibu negara.

Langkah ini diharap sekurang-kurangnya mampu menjadi penyelesai masalah pada waktu mendesak ini.

Adi difahamkan, antara langkah jangka pendek atau interim ini ialah menambah baik longkang scupper (scupper drain), membina pam banjir (sump pump) baharu, meletakkan beg pasir serta membuang kekotoran dan kelodak di kolam takungan banjir.

Projek interim berharga RM10 juta yang dinamakan ‘Pelan Tindakan Banjir Kilat 2022’, diumumkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, pada sidang media awal bulan ini di DBKL. Projek ini bermula sertamerta.

Langkah yang diambil ini berdasarkan maklum balas masyarakat di kawasan yang mudah terdedah kepada banjir, juga laporan banjir yang berlaku di 25 kawasan ‘panas’ di Kuala Lumpur pada 25 April.

Kawasan-kawasan tersebut antaranya ialah Kepong, Jalan Pintasan Segambut, Jalan Rahmat, Jalan Sultan Azlan Shah, Bulatan Datuk Onn, Dataran Merdeka, Kampung Kassipilay, Jalan Travers (Bangsar) dan Jalan Tun Sambanthan (Brickfields).

Pada kejadian 25 April itu, hujan lebat mengakibatkan ribuan warga kota terperangkap dalam banjir kilat yang menyebabkan lalu lintas tidak dapat bergerak langsung.

‘Pelan Tindakan Banjir Kilat KL 2022’ juga menggariskan beberapa lagi tindakan yang akan diambil. Antaranya memastikan keperluan tenaga kerja mencukupi.

Di samping itu, semua kemudahan logistik dipastikan dalam keadaan siap sedia jika berlaku ribut petir di kawasan yang sering terdedah banjir. Langkah ini untuk memastikan bantuan dapat digerakkan lebih pantas untuk mereka yang terperangkap dalam banjir.

Dalam hubungan ini Adi difahamkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) memainkan peranan penting dalam usaha membantu gerak kerja DBKL agar semuanya berjalan dengan licin dan lancar.

Dengan mengambil kira amaran cuaca yang dikeluarkan oleh jabatan tersebut, DBKL akan memastikan trafik warden berada di kawasan tertentu yang sering dilanda banjir untuk memantau lalu lintas. Mereka bertanggungjawab memesongkan pergerakan trafik ke laluan lebih lancar dan selamat.

Mereka yang telah memuat turun aplikasi DBKL Mobis akan memperoleh mesej pesanan ringkas (SMS) serta-merta memberikan maklumat agar mengelakkan laluan tertentu. Perkhidmatan ini sudah bermula sekarang. Yang belum memuat turun aplikasi ini jangan susah hati. Mereka juga akan mendapat pesanan SMS mengenai laluan selamat apabila berlaku banjir.

Ini kerana Adi difahamkan pihak DBKL sedang berusaha ke arah menyediakan perkhidmatan SMS tersebut, seperti dinyatakan oleh Datuk Bandar.

Masalah banjir kilat ibu kota dikira sebagai masalah berterusan. Namun segala usaha berterusan juga dilakukan untuk memastikan jika pun masalah ini tidak dapati diatasi sepenuhnya, sekurang-kurangnya ia dapat diminimumkan.

Sebelum ini pun sudah ada usaha dilakukan bagi mengekang banjir dengan penyediaan kolam tadahan banjir dan juga terowong SMART.

Namun barangkali dengan bertambah rancaknya pembangunan di ibu negara menyebabkan kawasan tadahan hujan juga berkurangan.

Kerana itu apabila berlaku hujan lebat berterusan beberapa hari, kolam tadahan atau terowong SMART tidak dapat menampung volume air yang melimpah. Begitu juga bumi tidak dapat menampung dan meresap air menyebabkannya melimpah ruah.

Oleh itu, Adi dan warga kota berharap rancangan pencegahan banjir sementara oleh DBKL ini akan berjaya. Pihak DBKL menetapkan sehingga hujung tahun ini untuk melihat sama ada beberapa perancangan yang dibuat itu akan membuahkan hasil.

Namun pada peringkat awal, DBKL menetapkan jangka waktu tiga bulan sebagai penilaian awal sejauh mana keberkesanan program ‘Pelan Tindakan Banjir Kilat KL 2022’ berkenaan.

Pihak DBKL juga sudah melantik perunding bagi meneliti langkah tindakan yang diambil dalam pelaksanaan pelan tersebut serta mengemas kini secara berkala.

Hujan lebat dan banjir adalah kuasa Allah yang tidak boleh dihindar. Akan tetapi kita sebagai insan yang dikurniakan akal fikiran mesti berusaha dan bersiap sedia sepanjang masa untuk memastikan ia tidak memberi kesan yang terlalu memudaratkan.

Kerana itu dalam pelaksanaan apa-apa projek pembangunan di ibu kota, amat perlu dipastikan segala peraturan dipatuhi. Jangan bertolak ansur dengan pemaju yang didapati sewenangwenang melanggar peraturan seperti mencampak sisa buangan sesuka hati sehingga menyekat kelancaran laluan air.

Dalam melaksanakan pembangunan, jangan sampai mengorbankan kolam tadahan dan jangan disumbat sungai dan saluran air dengan pelbagai sampah sarap. Warga kota mesti bersama-sama membantu mengatasi masalah banjir kilat.

Adi — Suka main rakit – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas