Berita

Tapak Bazar Ramadan Putrajaya dibuka untuk permohonan

PELBAGAI juadah terdapat di Bazar Ramadan Putrajaya
- Diterbit 8 Januari 2022 2:00 AM MYT

SEMPENA bulan Ramadan yang bakal disambut umat Islam tidak lama lagi, Perbadanan Putrajaya (PPj) mula membuka tawaran penyewaan tapak Bazar Ramadan Putrajaya 2022 kepada mereka yang berminat.

Sebanyak 200 ruang tapak disediakan di Presint 3 dan 10 lot Foodtruck Dataran Putrajaya Presint 3. Permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang https://forms. gle/gsPobgsSYaP8e9v3A sebelum 31 Januari 2022.

Menurut Pengarah Bahagian Pelesenan Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya, Jeffri Mustapa, antara kriteria permohonan adalah hanya satu permohonan dibenarkan untuk satu keluarga dan tiada sebarang kompaun atau tunggakan sewaan dan cukai dengan PPj.

“Selain itu pemohon dan pembantu hendaklah mendapatkan suntikan Typoid kerana ia merupakan vaksin wajib kepada pengendali
makanan,” ujarnya kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut tentang prosedur operasi standard (SOP) dalam pasca pandemik ketika ini, Jeffri berkata mereka masih menanti kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa.

JUADAH panas turut menjadi pilihan pembeli

“Kita akan melihat SOP yang dibenarkan dan menyokong penuh setiap garis panduan yang ditetapkan MKN,” ujar beliau.

Menceritakan kelainan pada tahun ini, beliau berkata Ramadan kali ini turut diserikan dengan Festival Ramadan seperti tahun-tahun sebelumnya yang diadakan di dalam khemah di Dataran Putra.

“Kita cuba untuk adakan semula festival dengan jualan barangan sempena hari raya seperti baju raya, songkok, kuih dan sebaganya. Selain itu, kita juga akan mewujudkan laman iftar di kawasan kiblat walk yang terletak di antara dua bangunan PPj ini.

“Di situ akan disediakan kerusi dan meja untuk pengunjung menikmati hidangan yang dibeli sama ada di kawasan ini atau bazar bersama kaum keluarga mahupun rakan-rakan. Kita anggarkan dalam 40 peniaga akan berniaga di kawasan ini dengan menu serta minuman yang berbeza,” ujar beliau.

Berkata lanjut tentang hal tersebut, Jeffri berkata, tapak tersebut bakal diuruskan oleh kontraktor luar dan dalam masa yang sama dipantau oleh PPj. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas