Berita

Tangguh aktiviti luar bilik darjah jika El Nino bertambah buruk – Wong

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 11 Mac 2024 12:45 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) bersedia menangguhkan sebarang aktiviti luar bilik darjah jika fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini bertambah buruk.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata pihaknya tidak mahu sebarang perkara di luar jangkauan berlaku terutama membabitkan kesihatan para pelajar.

“Buat masa ini KPM akan terus berkolaborasi dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memantau keadaan cuaca dan juga status kesihatan para pelajar ini.

“Kita juga akan keluarkan garis panduan dari semasa ke semasa kepada pihak sekolah bergantung kepada keperluan keadaan. Apa-apa pun keutamaan adalah kepada kebajikan dan kesihatan anak-anak,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tanjung Rambutan di sini, hari ini.

Pada 4 Feb lepas, Menteri Kesihatan Fadhlina Sidek meminta supaya guru dan ibu bapa memantau keadaan anak mereka ketika berdepan cuaca panas akibat El Nino.

Fadhlina turut menjelaskan KPM mempunyai garis panduan berkaitan fenomena cuaca yang digunakan bagi memberikan peringatan dan nasihat mengikut keadaan semasa di peringkat sekolah.

Sementara itu, Wong berkata meskipun terdapat aduan berhubung Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dilaporkan kepada KPM namun kesemuanya dapat diselesaikan.

“Antara aduan yang diterima terarah kepada isu teknikal sebagai contoh seperti isu pertukaran sekolah. Bagaimanapun perkara itu dapat diselesaikan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata pihaknya meminta supaya mana-mana individu atau penjaga yang masih tidak menerima BAP supaya membuat aduan kepada KPM atau pihak sekolah.

“Berkaitan isu BAP ini, saya nasihatkan supaya ibu bapa boleh bangkitkan kepada sekolah serta pihak KPM. KPM sendiri sedia membantu dan akan pastikan bantuan berkenaan sampai kepada mereka,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas