Berita

Tahfiz, sekolah Cina terima bantuan

KHALID (tengah) bergambar bersama penerima bantuan sekolah tahfiz, agama swasta dan sekolah persendirian cina di sini baru-baru ini.
KHALID (tengah) bergambar bersama penerima bantuan sekolah tahfiz, agama swasta dan sekolah persendirian cina di sini baru-baru ini.
- Diterbit 18 Julai 2019 4:32 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Bantuan kewangan yang diberikan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) khusus kepada pusat tahfiz, sekolah agama swasta dan persendirian Cina Wilayah Persekutuan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan pelajar.

Pengasas Akademi Tahfiz Al-Hidayah Jalan Gurney, Roslailawati Mohamad berkata, peruntukan yang diperoleh akan digunakan untuk membaik pulih infrastruktur bangunan madrasahnya yang sudah berusia lebih 18 tahun.

Jelas beliau, bantuan itu juga akan digunakan untuk membangunkan makmal komputer serta perpustakaan mini sekali gus memberi keselesaan serta memudahkan pelajarnya menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran.

“Kita menyewa bangunan yang me­rupakan banglo dua tingkat, bumbung pun sudah bocor dan perlu dibaiki. Beberapa perkara lain juga perlu ditambah baik bagi memenuhi spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mendapatkan sijil kelulusan kerana pada masa ini kita hanya memperoleh kelulusan daripada bomba sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan kepada sekolah tahfiz, agama swasta dan sekolah persendirian Cina yang disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad.

Pengetua Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa Jalan Ipoh, Cheong Moey Lian pula berkata, peruntukan yang diberikan YWP itu merupakan hadiah berharga buat sekolahnya yang baru menyambut ulang tahun ke-100.

Ujar beliau, dengan sumbangan tersebut, pelajarnya akan dapat menikmati kemudahan sukan berikutan fokus utama adalah pembinaan infrastruktur sukan antaranya kolam renang, gelanggang badminton dan bola keranjang serta trek balapan.

Sementara itu, Khalid memberitahu, bantuan tersebut pertama kali diberikan untuk menggalakkan sekolah-sekolah tahfiz serta agama swasta berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Terdahulu beliau menyerahkan sumbangan sejumlah RM1.5 juta kepada 50 buah sekolah agama swasta dan tahfiz serta empat buah sekolah persendirian Cina yang mana ia bakal memanfaatkan lebih 22,000 pelajar.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas