Berita

Tabung Haji beku akaun mangsa scammer

- Diterbit 6 Mac 2024 4:48 PM MYT

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun pendeposit yang menjadi mangsa penipuan scammer.

TH dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut dilakukan bagi mengelakkan berlaku kerugian yang lebih besar kepada mangsa.

“Pembekuan akaun dilakukan tiga hari sebelum aduan dibuat setelah pihak TH mendapati terdapat transaksi yang mencurigakan.

“TH juga sedang melakukan siasatan atas perkara ini. Mangsa juga telah membuat laporan polis dan TH akan sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam sebarang siasatan ke atas kes penipuan siber,” katanya hari ini.

Tambahnya, merujuk kepada kes pengeluaran tidak sah yang dilaporkan di media baru ini, TH telah mendapati bahawa pendeposit terlibat merupakan mangsa penipuan scammer dimana sejumlah RM12,000 telah dipindahkan melalui lima transaksi dalam masa empat hari.

Tegasnya, TH sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk tidak membuka mana-mana mesej dan hantaran yang meragukan atau berkongsi data peribadi dengan mana-mana pihak.

“TH ingin menegaskan bahawa platfom atas talian THiJARI telah dibangunkan dengan ciri keselamatan yang menepati amalan terbaik di pasaran.

“Aplikasi THiJARI dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan antaranya nama pengguna, kata laluan yang dienkripsi, serta gambar keselamatan untuk memastikan aplikasi tersebut disambung ke laman web rasmi THiJARI.

“Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pendeposit boleh berhubung dengan THCC di talian 03-6207 1919,” uajrnya.

Baru-baru ini media melaporkan, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Asri Mohd. Yunus berkata, pihaknya menerima laporan dari seorang bilal sebuah masjid di Ulu Yam Bharu, Hulu Selangor mengatakan dia mengalami kerugian RM12,000 selepas wang di dalam akaun TH miliknya disyaki dipindah ke akaun milik orang lain.

“Hasil siasatan mendapati mangsa menerima mesej dari hotline Tabung Haji yang menyatakan terdapat pemindahan wang dari akaunnya.

“Semakan menemui terdapat lima transaksi iaitu sekali pada 20 Februari (RM 3,000), dua kali (21 Februari, RM 3,000), sekali (22 Februari, RM 3,000) dan sekali (23 Februari, RM 3,000),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas