Berita

Sukma Johor 2020 ditangguh

SATU mesyuarat khas diadakan baru-baru ini bagi mencapai persetujuan semua pihak yang terlibat.
- Diterbit 28 Mac 2020 6:31 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 11 hingga 19 Julai 2020 ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19.

Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang dipengerusikan olehnya menerusi sidang video semalam.

Menurutnya tarikh baharu temasya dwi tahunan itu akan diputuskan selewat-lewatnya pada awal Mei depan.

“Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia membuat keputusan itu selepas mengambil kira aspek paling utama iaitu keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih, pegawai serta semua yang terbabit dalam temasya berkenaan.

“Selain itu, ia juga mengambil kira beberapa perkara lain termasuk pemantauan berterusan perkembangan wabak Covid-19, tiada pertindihan dengan tarikh penting yang lain dan meneliti kepentingan semua pemegang taruh,” katanya.

Selain Sukma Johor, KBS juga turut menangguhkan Para Sukma Johor 2020.

“Saya juga sudah meminta Ketua Setiausaha KBS selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Para Sukma Johor 2020 untuk mengambil tindakan serupa untuk menangguhkan temasya itu yang dijadualkan selepas Sukma Johor 2020,” katanya.

Dua cadangan tarikh baharu Sukma Johor 2020 telah dikenal pasti menjadi pilihan majoriti ahli majlis yang terlibat iaitu pada Disember 2020 ataupun dianjakkan ke tahun 2021. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas