Berita

Sukarelawan APIUM galak sifat membaca murid prasekolah

SUKARELAWAN dan pensyarah bergambar bersama murid-murid
- Diterbit 27 Januari 2020 7:00 AM MYT

SEKUMPULAN sukarelawan dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) telah meluangkan masa bersama lebih 100 orang murid dari beberapa prasekolah di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa tahun pertama Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan itu telah mendekati murid-murid prasekolah di Tadika Islam Al-Mujahideen, Petaling Jaya; Pasti An-Nurhidayah, Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan Tadika Little Caliphs Pantai Dalam melalui program yang dinamai ‘Mari Membaca Sayang’.

“Program ini secara khususnya ingin menyediakan platform yang sesuai untuk mahasiswa mempraktikkan apa yang dipelajari di bilik kuliah terutamanya dalam membantu meningkatkan daya kognitif dan psikomotor kanakkanak prasekolah melalui aktiviti membaca dan bercerita,” kata Dr. Nur Shahidah Pa’ad, pensyarah kanan Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan yang juga merupakan penasihat program.

‘Mari Membaca Sayang’ yang diadakan selama lima hari ini telah diadakan di Ruwaq al-Akademiyyah,
Universiti Malaya (UM).

“Selain cuba menerapkan minat suka membaca dalam kalangan kanak-kanak, program ini juga memberi ruang kepada mahasiswa untuk menunjukkan sisi kreativiti mereka melalui hiasan ruang untuk pembelajaran prasekolah dan perancangan serta pelaksanaan aktiviti yang bersesuaian,” kata Nur Shahidah lagi.

Menariknya, slot membaca dan bercerita yang dilaksanakan sepenuhnya oleh sukarelawan ini bukan sahaja tertumpu kepada kemampuan mengeja atau mengenal huruf malah memahami setiap kandungan mesej yang disampaikan di dalam cerita yang dikongsi.

Kanak-kanak yang hadir juga turut bermain beberapa permainan secara berkumpulan bagi menggalakkan pembangunan kognitif melalui kaedah audio visual.

Sementara itu, Pengarah APIUM, Datin Prof. Dr. Raihanah Abdullah  yang ditemui selepas perasmianprogram itu berkata, penganjuran program ini selaras dengan hasrat  Kementerian Pendidikan yang sedang menggiatkan kempen ke arah menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang 2030.

“Sebagai salah sebuah negara yang menandatangani Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kita seharusnya komited dalam menjaga kepentingan membaca untuk kanak-kanak.

“Perkara dinyatakan secara khusus di bawah aspek hak dan keperluan kanak-kanak di seluruh dunia, tanpa mengira jantina, agama, bangsa, kefahaman, atau perbezaan sosioekonomi,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas