Atlet Wilayah

Sukan angkat berat sebati dalam jiwa, Elvin Hidayat sambung legasi keluarga

AKSI Elvin Hidayat ketika Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior Kebangsaan 2023 di Rompin, Pahang
- Diterbit 5 Januari 2024 12:10 PM MYT

MENJADIKAN bapa dan abang sebagai idola dalam sukan angkat berat, atlet Wilayah Persekutuan, Muhammad Elvin Hidayat, 20, berkata dia bertuah kerana dapat menyambung legasi kedua-dua insan penting dalam hidupnya.

Bagi anak kepada legenda angkat berat negara, Hidayat Hamidon, dia tidak akan menghampakan impian bapanya untuk melihat dirinya beraksi di pentas Olimpik suatu hari nanti.

“Saya yakin dengan bekerja keras diiringi komitmen yang tinggi, tidak mustahil ia akan berjaya dicapai. Mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun namun tiada yang mustahil.

“Memandangkan ini jalan yang saya pilih dan banggakan, sudah tentu saya tidak akan berhenti di pertengahan jalan begitu sahaja,” ujar adik kepada atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat.

Bercakap tentang perkembangan terbaharunya pula, pelajar jurusan Diploma Pengajian Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ini sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal berlangsung di Sarawak pada Ogos ini.

“Saya baru sahaja pulang ke Malaysia selepas berhempas-pulas menjalani latihan di Korat, Thailand untuk persediaan ke SUKMA di Sarawak. Dalam masa sama, saya juga akan menyertai pertandingan angkat berat kebangsaan dalam bulan ini.

“Saya perlu bersiap sedia dari semua segi kerana sukan angkat berat ini bukan hanya memerlukan kekuatan fizikal semata-mata, namun ia turut merangkumi aspek kerohanian.

“Mental yang sihat dan stabil memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi seseorang atlet,” ujarnya apabila kesemua elemen ini seimbang, lebih mudah untuk atlet mengawal emosi ketika beraksi.

Mula bergiat aktif dalam sukan angkat berat ketika berusia 15 tahun, Elvin mengakui disiplin yang ketat perlu untuk memastikan dirinya berjaya.

“Saya menjalani sesi latihan pada setiap hari, tiada kompromi. Berlatih di gimnasium dan melakukan senaman fizikal adalah wajib dan saya tidak kisah berkorban masa dan tenaga ke arah itu.

“Sama seperti sukan yang lain, atlet perlu bersedia memberikan 100 peratus fokus sebelum beraksi untuk mengelakkan sebarang kecederaan,” ujar anak kedua daripada tiga adik-beradik ini lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas