Berita

SPM 2019 meningkat, 8,876 murid cemerlang semua subjek

HABIBAH mengumumkan keputusan SPM 2019 di Putrajaya pagi tadi.
- Diterbit 5 Mac 2020 5:14 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 8,876 daripada 389,498 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran diambil.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Habibah Abdul Rahim ketika mengumumkan keputusan peperiksaan tersebut berkata, bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan iaitu 77,038 calon berbanding 74,360 tahun 2018.

“Seramai 147,738 calon lagi mendapat sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan sebanyak 69 calon berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Dr. Ahmad Rafee Che Kassim.

Menurut Habibah, pencapaian calon SPM di bandar dan luar bandar meningkat tetapi pencapaian calon di bandar lebih baik.

“Perbezaan ini menyebabkan jurang pencapaian berkenaan bertambah 0.01 peratus,” katanya.

Jelas beliau, pada tahun 2019, peratusan calon yang layak menerima sijil meningkat sebanyak 0.33 peratus iaitu 337,773 calon berbanding 338,350 tahun 2018.

Beliau berkata, sebanyak 86.72 peratus calon telah menguasai soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Sebanyak 87.22 peratus calon menguasai kemahiran mengaplikasi, 89.84 peratus menganalisis, 79.89 peratus menilai dan 89.91 peratus menguasai mencipta,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir ke Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya dan mengambil kesempatan menyampaikan keputusan peperiksaan tersebut kepada para pelajar cemerlang berkenaan.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Mohd. Gazali Abas dan Habibah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas