Berita

Silat di Masjid Nabawi: Tujuan baik perlu dengan ilmu pengetahuan

- Diterbit 5 Februari 2024 4:19 PM MYT

ISU sekeluarga yang mempamerkan seni silat di perkarangan Masjid Nabawi, Madinah baru-baru ini adalah baik namun ia tidak sesuai dan perlu dilakukan dengan ilmu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan berkata apabila melihat kepada sesuatu isu, kita perlu memahami latar belakangnya mengapa ia berlaku.

“Untuk berlaku adil, saya perlu husnudzhon (bersangka baik) kerana saya tidak arif tentang kenapa dan mengapa perkara itu terjadi.

“Tetapi mungkin tujuan yang dilakukan itu sangat baik iaitu untuk memperkenalkan budaya negara kita di Madinah.

“Namun begitu apa yang penting bahawa setiap tindakan perlu diselarikan dengan ilmu pengetahuan kerana apabila kita melakukan sesuatu di luar negara, kita perlu tahu tentang budaya, masyarakat dan undang-undang negara tersebut,” kata beliau.

Jelas Zulkifli, Islam sangat menekankan mengenai Fiqh al-Ma’alat atau Fiqh Implikasi iaitu apa yang kita buat apakah yang akan berlaku.

“Setiap perbuatan mempunyai implikasi tertentu yang akan berlaku dan kita juga perlu memahami Fiqh Aulawiyat iaitu meletakkan keutamaan terhadap sesuatu perkara sebelum mengambil atau membuat apa jua tindakan.

“Selain itu, dalam Islam, kita perlu tahu mengenai Fiqh Al Mizan atau Fiqh Seimbang dan dalam konteks ini, ia berkait rapat dengan Fiqh Implikasi,” katanya.

Kata Zulkifli beliau melihat terdapat kemungkinan perbuatan tersebut itu disebabkan tidak mempunyai ilmu pengetahuan sehingga menimbulkan rungutan dan kecaman dari pelbagai pihak.

“Oleh kerana niatnya baik, secara tidak langsung menerusi penularan video tersebut ia telah mencipta imej yang menimbulkan risiko kepada mereka,” kata beliau.

Zulkifli turut menasihati semua pihak yang mempunyai niat melakukan sesuatu yang baik, pastikan ia datang dengan ilmu selain perlu peka terhadap implikasi daripada perbuatan itu.

“Bagi pengecam pula iaitu mereka yang cepat mengecam dan pembuli siber, kita perlu memberi nasihat agar tidak mewujudkan satu situasi tidak aman dalam kalangan masyarakat.

“Mungkin dalam konteks ini kita boleh panggil mereka dan dapatkan penjelasan dan mereka mungkin memohon maaf terhadap kesilapan tersebut.

“Jadi apa-apa yang kita lakukan itu bukan dengan kaedah kekerasan seperti kata-kata pejuang kulit hitam, Marthin Luther, jika kita hendak melawan kegelapan atau keburukan ia tidak boleh dilawan dengan kegelapan kena lawan dengan cahaya, jika hendak melawan kebencian, ia perlu dilawan melalui kasih sayang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas