Berita

Sewa inap desa simpan dadah bernilai 2.5 juta

- Diterbit 17 Oktober 2022 1:30 PM MYT

KEGIATAN dua lelaki yang menyewa rumah inap desa di Kajang untuk dijadikan stor simpanan dadah terbongkar apabila premis berkenaan diserbu polis pada 13 Okt lepas yang membawa kepada penemuan dadah bernilai RM2.5 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata penahanan seorang lelaki berusia 37 tahun di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas di sini, yang kemudiannya membawa kepada penahanan seorang lelaki berumur 38 tahun di hadapan pos pengawal taman perumahan di Bandar Damai Perdana, Kajang, telah membawa kepada penemuan tersebut.

“Hasil tangkapan itu, polis menyerbu sebuah unit kediaman inap desa di Bandar Damai Perdana yang menempatkan 206 bungkusan teh cina mengandungi syabu seberat 213 kilogram (kg) dan 112,000 pil erimin 5 seberat 33kg bernilai RM2.5 juta,” katanya dalam sidang media berhubung kes berkenaan di sini, hari ini.

Polis turut menyita wang tunai RM70,000 dan dua kereta jenis Toyota Altis serta sebuah kereta Kia Forte, dan menurut Azmi rampasan dadah di inap desa itu boleh dibekalkan kepada 538,000 penagih.

Azmi berkata siasatan mendapati sindiket berkenaan menjadikan inap desa tersebut sebagai stor simpanan dadah selama dua bulan, yang disewa pada harga RM280 sehari.

“Kami percaya sindiket ini sentiasa mengubah lokasi simpanan dadah yang dipercayai diperoleh dari negeri sebelah utara tanah air itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dadah berkenaan akan dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua lelaki yang didapati positif syabu itu kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas