Berita

Setiausaha Politik PM ziarah waris dua mangsa nahas pesawat di Elmina

- Diterbit 29 Ogos 2023 2:58 AM MYT

SETIAUSAHA Politik kepada Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi menziarahi waris kepada dua mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lepas.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Ahmad Farhan berkesempatan menziarahi ibu bapa penunggang p-hailing Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh di Taman Sidam Kiri, Kedah semalam.

Pada pertemuan itu, bapa Muhamad Hafiz, Muhamad Saleh Othman, 57, memaklumkan Allahyarham sepatutnya pulang untuk bersama-sama meraikan hari perkahwinan adiknya dan pemergiannya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga.

Anwar berkata Ahmad Farhan turut bertemu balu Allahyarham Shaharul Amir Omar, iaitu Suhaila Akasha, 46, di Lumut, Perak semalam.

“Mendoakan keluarga yang terlibat dikurniakan kecekalan serta kesabaran yang tinggi dalam menempuh ujian. Saya yakin ujian ini bukan sembarangan malah besar kesannya kepada sanubari mereka yang terkesan.

“Semoga roh mangsa nahas kesemuanya diberikan tempat yang terbaik oleh Yang Maha Esa dan diampun segala dosa mereka, Insya-Allah,” kata Anwar.

Pada 17 Ogos, 10 individu terkorban dalam nahas itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing, yang menggunakan lebuh raya berkenaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas