Berita

Serangan Israel halang penduduk beri penghormatan terakhir kepada ahli keluarga

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 31 Disember 2023 1:55 PM MYT

SERANGAN berterusan tentera penceroboh Israel di selatan Semenanjung Gaza menyukarkan warga Palestin daripada memberi penghormatan terakhir kepada ahli keluarga mereka yang terbunuh dalam konflik antara Israel-Hamas.

Pengeboman itu memaksa majlis pengebumian penduduk terpaksa dibuat dalam waktu singkat dan tergesa-gesa.

Situasi itu dialami Samira Ismael, 28, yang kehilangan seluruh keluarganya dalam serangan Israel di Khan Yunis selain beliau sendiri turut cedera di seluruh tubuhnya akibat serpihan bom.

Kecederaan dialami wanita itu menghalangnya daripada menghadiri pengebumian ringkas ibu, bapa dan adik-beradiknya di tanah perkuburan majlis perbandaran tidak jauh dari hospital.

Kehilangan peluang terakhir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga tersayang membuatkan wanita itu kini terjerumus ke dalam penderitaan yang tidak tertanggung.

“Semuanya dilakukan dengan cepat… Peperangan ini membuatkan saya keseorangan dengan banyak kenangan buruk.

“Saya tidak dapat menanggung kesakitan yang saya alami sekarang. Saya merindui keluarga saya dan ingin mencium kesemua mereka,” kata wanita itu kepada Xinhua.

Seorang lagi penduduk Younis Abu Al-Ezz mencari perlindungan di bandar Deir al-Balah di selatan Gaza tidak dapat menahan kesedihan kerana tidak dapat berada di sisi bapanya yang ditembak mati.

Menurut lelaki itu beliau hanya mengetahui pemergian bapanya dua hari selepas kejadian di tengah-tengah kekacauan selain komunikasi terputus dan infrastruktur yang rosak teruk di wilayah itu akibat serangan rejim Israel.

Bapanya terbunuh selepas ditembak tentera rejim di Hospital Al-Shifa di utara Gaza selepas enggan mematuhi arahan berpindah ke selatan Gaza.

“Pembunuhan bapa saya adalan satu tamparan besar dalam hidup saya, terutamanya kerana saya anak sulungnya, tetapi saya tidak hadir bersamanya dalam saat-saat getir ini,” kata Abu Al-Ezz kepada Xinhua.

Konflik antara Israel-Hamas telah berlarutan selama hampir tiga bulan, mengakibatkan longgokan jenazah dalam khemah dan halaman hospital di seluruh Gaza.

Pengebumian penduduk diadakan dalam waktu singkat dan tergesa-gesa. Penduduk yang terbunuh jika boleh dikenal pasti akan ditandakan dengan maklumat peribadi pada kain kafannya untuk dituntut oleh saudara-mara dan rakan-rakan.

Selepas solat, jenazah akan dikebumikan di kawasan hospital, seringkali dikebumikan bersama dalam sebuah kubur besar.

Jurucakap Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Raed Al-Nems berkata adalah satu cabaran besar untuk mengebumikan jenazah penduduk ketika serangan Israel berterusan.

“Malangnya kebanyakan orang ramai tidak boleh mengebumikan anggota keluarga mereka yang terbunuh atas banyak sebab, termasuk disebabkan kecederaan dialami akibat pengeboman Israel atau ketidakupayaan mereka untuk bergerak atas faktor keselamatan,” katanya.

Jurucakap itu berkata kru Bulan Sabit Merah yang dikerahkan di Gaza cuba mendapatkan semua mangsa secepat mungkin, tetapi ia di luar kemampuan mereka dengan kemerosotan sistem kesihatan dan kekurangan bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan ambulans.

Menurut Al-Nems, pengeboman itu mengakibatkan sejumlah besar kematian dan kecederaan di wilayah yang sesak, terutamanya di tengah dan selatan Gaza.

Menurut statistik kementerian kesihatan di Gaza pada Sabtu, serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt mengakibatkan sekurang-kurangnya 21,672 rakyat Palestin terbunuh. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas