Berita

Semakan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) akan dibuat dari semasa ke semasa – Loke

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 15 November 2023 8:55 AM MYT

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) akan melakukan semakan semula hukuman denda terhadap pemandu bawah umur seperti yang termaktub  di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan MOT di sini hari ini, beliau berkata selain itu, semua seksyen di bawah akta itu juga wajar disemak semula dari pelbagai aspek.

“Terdapat undang-undang sedia ada, apa pun denda yang dibenarkan di bawah undang-undang semasa, itulah denda maksimum yang boleh dikenakan tetapi dalam konteks undang-undang kami akan menyemak semula dari semasa ke semasa,” katanya ketika mengulas mengenai hukuman denda yang diperuntukkan di bawah Seksyen 26(2) APJ yang dikatakan terlalu ringan.

Seksyen 26(2) di bawah APJ itu memperuntukkan hukuman denda minimum RM300 sehingga RM2,000 atau penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Antara kejadian membabitkan pemandu bawah umur termasuk kes terbaharu yang berlaku Ahad lepas di Pulau Pinang dilaporkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang memandu kereta milik ibunya sebelum terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan dua kematian di atas Jambatan Pulau Pinang.

Ditanya jika tindakan akan diambil terhadap ibu bapa pemandu di bawah umur dalam kejadian berkenaan, beliau berkata pihaknya tidak dapat bertindak melebihi undang-undang sedia ada.

“Mana-mana peruntukan undang-undang yang kami boleh gunakan, adalah di bawah akta semasa. Kami tidak boleh melangkauinya. Jadi, apabila kami melakukan semakan semula, sudah tentu kami akan melihat aspek lain yang perlu dimasukkan ke dalam undang-undang,” katanya.

Tanpa menetapkan tempoh bagi membuat semakan akta itu, Loke bagaimanapun berkata MOT  akan mendapatkan maklum balas daripada orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi penambahbaikan APJ.

Sementara itu ketika mengulas mengenai insiden perkhidmatan transit laju massa (MRT) laluan Putrajaya yang mengalami kelewatan jadual perjalanan pada 5.49 petang semalam akibat gangguan bekalan kuasa elektrik di antara Stesen Conlay dan Stesen Chan Sow Lin yang menyebabkan dua tren tidak dapat bergerak,  Loke berkata ia tidak sepatutnya berlaku.

“Saya amat berdukacita  atas perkara ini kerana laluan ini dibuka tidak sampai setahun pun,” katanya.  MRT laluan Putrajaya mula beroperasi pada 16 Mac lepas

Susulan itu, Loke berkata beliau telah meminta Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd dan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) untuk menyediakan laporan penuh kepada kementerian di dalam mesyuarat pasca-Kabinet kementerian. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas