Berita

‘Segarkan’ Pulau Langkawi

- Diterbit 17 November 2023 12:50 AM MYT

KEHEBATAN Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan diketahui umum. Bukan sahaja warga tempatan bertumpu ke pulau lagenda tersebut, malah ia menjadi tarikan pelancong luar untuk menikmati keindahan serta pelbagai tarikan pelancongan yang ditawarkan.

Secara tidak langsung ini memberi manfaat kepada banyak pihak, termasuk penduduk Langkawi sendiri, yang menjadikan pelancongan sebagai sumber rezeki. Ramai terlibat mengusahakan chalet, premis makanan dan minuman serta pelbagai kemudahan rekreasi dan riadah, juga sebagai pemandu pelancong.

Turut menikmati hasil kedatangan pelancong ialah yang mengusahakan bisnes sewa kenderaan untuk pelancong. Selain itu syarikat pengangkutan seperti feri, bas dan kapal terbang turut sama beroleh manfaat apabila ramai pelancong menggunakan perkhidmatan mereka untuk sampai ke Pulau Langkawi.

Namun kawan-kawan Kedai Kopi tersentuh apabila membaca laporan media bahawa Pulau Mahsuri itu kebelakangan ini tidak meriah seperti dahulu. Jumlah pelancong dikatakan merosot. Malah pelancong dalam negeri pun mengubah haluan menuju ke tempat lain, contohnya Hatyai di Thailand.

Adakah Langkawi sudah hilang tarikannya? Kawan-kawan Kedai Kopi rasa tidak begitu kerana tarikan pelancongan di pulau tersebut tetap hebat seperti dahulu. Jadi adakah kerana tidak banyak promosi mengenai Langkawi berbanding lokasi saingan?

Walaupun Langkawi sudah terkenal, promosi berkala dan berterusan perlu dilakukan di dalam dan luar negara untuk memastikan pulau itu sentiasa segar dalam minda pelancong. Adakan acara berkala untuk menarik pelancong, selain acara besar seperti Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim (LIMA).

Kawan-kawan Kedai Kopi difahamkan, satu lagi punca pelancong berkurangan kerana Langkawi kini dianggap lebih mahal berbanding Hatyai. Kos penginapan, sewa kenderaan, makan minum didakwa lebih mahal, terutama ketika musim perayaan atau cuti sekolah.

Diharap usaha dilakukan segera bagi menyegarkan kembali Langkawi. Kerajaan negeri Kedah dan kerajaan pusat boleh berbincang mencari jalan terbaik penyelesaian isu. Bekerjasamalah demi memastikan Pulau Langkawi tetap menjadi destinasi pelancongan ulung memandangkan ia menyumbang kepada ekonomi Langkawi, negeri Kedah dan kerajaan pusat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas