Berita

Sasaran 10 juta daftar MyDigital ID suku pertama tahun depan

- Diterbit 15 Disember 2023 7:30 PM MYT

SERAMAI 10 juta individu disasarkan untuk mendaftar dengan MyDigital ID iaitu inisiatif sistem pengenalan diri dalam talian bagi suku pertama pada tahun hadapan dengan proses pendaftaran sedang dijalankan pada ketika ini

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sasaran pertama itu diletakkan MIMOS Berhad (MIMOS) selaku agensi pelaksana di bawah Jabatan Perdana Menteri manakala peranan Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah daripada segi polisi serta penjaga projek.

“MIMOS mahu mencapai sasaran 10 juta pendaftaran Digital ID ini melibatkan orang awam sekali, perincian akan dirumuskan oleh MIMOS, lebih cepat kita laksanakan lebih bagus. MIMOS sebagai agensi yang ada kepakaran dengan bajet asal (perlaksanaan projek) adalah RM450 juta.

“Baru-baru ini MIMOS melaksanakan sistem ini dalam anggaran RM380 juta, sekarang dalam fasa pendaftaran ramai mendaftar, saya pun dah mula mendaftar, kakitangan kerajaan lebih mudah sebab mereka ada sistem HRMIS, dan MyDigital ID ini nanti ada subsidi bersasar termasuk Kesihatan Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara cawangan Kalabakan serta program menyemai kasih rakyat (MEKAR) di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, perkara itu merupakan satu hala tuju untuk negara melangkah ke hadapan, dan dari segi polisi ianya adalah satu keputusan betul untuk melangkah dalam dunia yang serba kompleks masa kini.

“Ia berupa kod seperti dokumen pengenalan diri yang mana identiti kita berada di dalam gajet dan MyKad dikekalkan, ia akan beri kelebihan pada aspek keselamatan, urusan perbankan, sektor komersial termasuk urusan kerajaan bermakna dalam bentuk rakam masuk sekali satu identiti sahaja,” katanya.

Menurutnya dengan lebih ramai mendaftar sistem itu akan mencipta satu pangkalan data kerajaan yang lebih besar yang akan membantu mempercepatkan segala urusan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas