Berita

Saksi di Sabah, Peter Anthony mohon pindah kes ke Mahkamah Sesyen KK

- Diterbit 20 Januari 2021 7:30 AM MYT

DATUK Peter Anthony yang didakwa atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu, memohon untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen di sini ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas alasan sebahagian daripada saksi yang akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu berada di Sabah.

Permohonan yang difailkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu pada 6 Jan lepas, turut menyatakan bahawa beliau juga telah dituduh dengan lima pertuduhan lain di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu dan pergerakannya dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur adalah terhad.

“Saya juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap dan telah berada di Sabah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat oleh kerajaan serta sedang berkhidmat kepada masyarakat di Sabah yang terkesan dengan teruk sejak COVID-19 melanda negara,” katanya menerusi permohonan itu.

Menurut Peter perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan akan menyukarkan perjalanan pihak-pihak yang terlibat dengan kes ini berikutan perintah tersebut akan berubah mengikut perkembangan COVID-19 di seluruh negara.

“Permohonan ini akan menyenangkan kesemua pihak memandangkan saksi-saksi yang berpotensi untuk dipanggil di dalam kes ini berasal dan menetap di Sabah,” katanya.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Peter ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi berkata hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi permohonan memindahkan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin, namun ia ditangguhkan ke 3 Feb ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wan Shaharuddin turut mengesahkan Peter telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes ke Sabah, antara lainnya atas alasan sebahagian daripada saksi pendakwaan berada di negeri itu.

“Bagaimanapun, pihak pendakwaan dalam prosiding sebelum ini telah memberitahu mahkamah bahawa kesalahan dilakukan di Semenanjung Malaysia dan mahkamah di sini tiada bidang kuasa untuk memindahkan kes ke Sabah,” katanya.

Peter, 50, didakwa sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen, iaitu surat Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 11 Julai 2014.

Dokumen itu didakwa mempunyai pernyataan palsu kononnya UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering, yang menyaksikan syarikat itu bersetuju membiayai dan mendirikan sebuah pusat Latihan Teknikal (M&E), serta pihak UMS menyokong penuh permohonan syarikat terbabit bagi melaksanakan kerja-kerja secara rundingan terus.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 17 Julai 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peter turut didakwa atas pertuduhan alternatif, iaitu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen membabitkan dokumen sama bagi membiayai dan mendirikan sebuah pusat M&E di tempat dan tarikh sama, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 11 Jun tahun lepas, Naib Presiden Parti Warisan Sabah itu didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, atas lima pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM8.75 juta berhubung pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), dan dia juga dihadapkan ke mahkamah sama pada 18 Jun tahun sama, atas pertuduhan bersubahat dalam kes pecah amanah melibatkan pembelian tanah RISDA bernilai RM15,545,400. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas