Berita

Safawi Rasid dipuji Jamie Redknapp

SEPAKAN bola mati kaki kiri Safawi memukau.
- Diterbit 6 Februari 2020 10:56 AM MYT

KUALA LUMPUR – Bekas kapten The Reds, Liverpool, Jamie Redknapp mengakui terpegun dengan aksi hebat penyerang negara, Safawi Rasid terutama menerusi tendangan kaki kirinya yang berbisa.

Jamie yang kini berada di Malaysia sempena kempen Cadbury FC bersama trofi Liga Perdana Inggeris menyarankan supaya Safawi mengorak langkah dengan mencontohi pemain muda Jepun, Takumi Minamino yang mencabar diri beraksi bersama Red Bull Salzburg di Austria sebelum mengikat kontrak bersama pasukan Liverpool.

Mengulas mengenai kenyataan yang diberikan Jamie mengenai dirinya, Safawi berkata, dia amat berterima kasih dan menyifatkan pujian tersebut membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk musim ini.

“Saya cuba jadi diri saya sendiri dan tidak boleh ‘melayang’ dengan pujian namun akan cuba sebaik mungkin demi pasukan negara dan kelab yang saya wakili.

“Jika saya berpeluang beraksi di luar negara, ia secara tidak langsung akan membuka mata orang luar. Pun begitu, bukan saya seorang sahaja, ramai lagi pemain Malaysia mampu bermain di sana,” ujarnya.

Safawi baru sahaja pulang daripada latihan jelajah pra-musim bersama kelabnya Johor Darul Takzim (JDT) di Emiriah Arah Bersatu (UAE) dan dalam persiapan menjelang Liga Malaysia serta Asia Champion League (ACL). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas