Berita

RM100 juta diperuntukkan di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia

PELAKSANAAN Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia meliputi tiga fasa secara keseluruhannya.
- Diterbit 10 Januari 2022 11:09 AM MYT

SEJUMLAH RM100 juta diperuntukkan bagi membina semula dan membaik pulih rumah yang terkesan akibat banjir di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata KPKT dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) masing-masing diperuntukkan RM50 juta.

“Kos sebanyak RM5,000 sehingga RM15,000 diperuntukkan bagi baik pulih rumah dan RM56,000 bagi kos bina baharu.

“Ia dilaksanakan secara bersepadu dimana KPKT bertanggungjawab bagi rumah-rumah kategori bandar di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala KPLB pula rumah-rumah di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, inisiatif ini turut melibatkan peranan pelbagai pihak antaranya di peringkat agensi iaitu Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta di peringkat negeri seperti PBT dan Kerajaan Negeri di negeri-negeri terlibat banjir.

Reezal Merican berkata, pelaksanaan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia meliputi tiga fasa di mana Fasa 1 melibatkan kerja pengumpulan data oleh Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di peringkat daerah.

Menurutnya penyelarasan data di peringkat negeri dijalankan oleh Kerajaan Negeri dan maklumat rakyat yang terkesan akan dikumpulkan oleh ICU, JPM sebagai Pusat Data Utama mangsa banjir.

“Fasa 2 melibatkan pelaksana dan agensi penilai iaitu KPKT, KPLB, JKR dan Kerajaan Negeri dalam pemeriksaan, penilaian dan verifikasi data-data yang telah dikumpulkan.

“Manakala di Fasa 3 pula adalah kerja-kerja pembinaan atau baik pulih semua rumah yang terkesan sehingga siap dan kemudiannya akan dilaporkan semula kepada ICU, JPM selaku Pusat data Utama Mangsa Banjir,” tambahnya.

Menurut Reezal Merican, setakat ini terdapat 8,257 jumlah rumah yang terjejas akibat banjir di mana 118 adalah bagi pembinaan baru manakala 8,139 bagi membaik pulih rumah yang terjejas.

“Angka-angka ini bersifat dinamik dan dijangka akan bertambah memandangkan masih ada negeri yang masih dilanda banjir. Data-data ini sedang dimuktamadkan oleh pihak Kerajaan Negeri dan akan dikemukakan kepada KPLB dan KPKT dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan usaha bersepadu ini dapat dilaksanakan dengan katanya.

“KPKT memberikan komitmen yang tinggi bagi memastikan keresahan rakyat yang kehilangan tempat tinggal atau kediaman mereka mengalami kerosakan akibat banjir dapat segera dirawat agar mereka boleh memulakan kehidupan harian seperti sebelum ini.

“Ini adalah selari dengan Agenda dan Fokus KPKT iaitu “Liveable Malaysia” atau Malaysia Berdaya Huni,” jelasnya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas