Artikel

Ramadan dan Mak Jah Pekan Rabu

PEKAN Rabu kini menjadi lokasi tarikan pelancong
- Diterbit 4 April 2024 12:58 PM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

HARI itu dalam bulan Ramadan 1983 semasa saya menjadi wartawan sambilan stringer di pejabat Biro Utusan Melayu di Alor Setar. Dalam keletihan berpuasa, saya mencapai kamera dan buku nota kemudian merayap ke Pekan Rabu untuk mencari bahan berita.

Ketika itu menulis adalah satu-satuya cara saya mencari duit, satu perenggan berita dibayar 80 sen dan sekeping gambar melintang dibayar RM5. Itupun kalau disiarkan. Kalau tidak disiarkan, tidak ada apa-apalah.

Dengan pengalaman yang diberikan oleh Ketua Biro, Mat Piah The Deria dan wartawan-wartawan senior, saya cuba mencari sesuatu yang ada nilai berita dan menarik dibaca. Saya pun menyusuri ke bahagian menjual sayur di Pekan Rabu, bahagian hujung tidak jauh dengan sungai keruh yang mengalir lesu.

Dari gerai menjual kuih, pakaian, songkok dan ikan pekasam, saya belum jumpa berita untuk ditulis. Hati sudah mulai kecewa kerana masih tidak ada bahan untuk dijadikan berita.

“Pasai apa depa tak tulis dua orang duduk bawah kotak kertas di tepi sungai tu?” tiba-tiba seorang penjual sayur yang sebaya ayah menyapa saya. Saya berpaling ke arah penjual sayur itu.

“Tulis pasai sapa pakcik?” saya bertanya dengan penuh minat.

“Tu orang tua laki bini duduk dalam dangau (pondok) di tepi sungai. Hang tulislah sikit pasai depa. Tu hang nampak dak tu. Dangau buat dengan kotak kertas tu?” loghat Kedah dia memang pekat.

Mata saya terjegil, berita sudah datang. Dia tunjuk arah tebing sungai tidak jauh dengan Pekan Rabu. Saya terpa ke pondok itu seperti ada orang menjemput makan durian. Di dalam pondok ada seorang wanita separuh umur.

Rambut mengerbang dan pakaiannya kusam. Saya memperkenalkan diri dan dia melayan dengan baik. Wanita itu memperkenalkan diri sebagai ‘Khatijah Ibrahim’. Saya teringat kepada penyanyi Khadijah Ibrahim sangat popular ketika itu dengan lagu Ku Sangka Siang Rupanya Malam.

Dia yang membahasakan diri sebagai Mak Jah beritahu, mereka suami isteri tidak ada saudara mara, tidak ada anak. Kisah yang diceritakan Mak Jah sangat mengharukan.

Hidup dengan bantuan peniaga-peniaga Pekan Rabu, upah yang diperoleh suaminya tidak cukup menyara hidup mereka berdua. Air dari sungai yang berkeladak macam teh tarik itulah untuk minum dan mandi.

Sampai di pejabat, Mat Piah meneliti satu demi satu gambar yang berselerak di atas meja di depannya. Lama beliau merenung gambar pondok buruk.

“Sekali kau cuit isu ini, kau kena selesaikan. Kau kena pastikan pasangan ini terbela, bukan kena halau percuma saja. Setiap hari pantau ketiga-tiga agensi ini – majlis bandaran, pejabat kebajikan dan pejabat agama,” tegas benar arahan Mat Piah.

Saya bertekad tidak membiarkan Mak Jah dihalau begitu saja. Sudah terlupa tujuan menulis berita untuk mendapatkan duit. Kalau tidak dibayar sekalipun, saya pasti terus menulis demi Mak Jah dan suaminya.

Padahal keadaan saya ketika itu juga amat sengkek, tidak mampu makan di warung dan setiap hari ibu bekalkan nasi – ikan temenung goreng dan sambal tumis. Rupa-rupanya ada lagi orang yang lebih menderita. Mak Jah menjadikan saya kuat menerima nasib diri.

Esoknya, pagi-pagi lagi saya membeli Utusan Malaysia di pekan Simpang Empat, Perlis. Rakus sahaja menyelak helai demi helai akhbar Utusan Malaysia dan berita itu memang disiarkan. Ruangnya besar, tiga gambar saya digunakan untuk berita itu bagi edisi utara.

Sebuah kisah kecil

Hari itu juga merupakan hari paling sibuk. Sampai sahaja di pejabat sebelum pukul 10 pagi, saya terus menelefon pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat kemudian pejabat agama. Semua arahan selesai dilakukan kemudian melaporkan perkembangan kepada Mat Piah.

Kemudian pergi ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan terus ke Pekan Rabu untuk meninjau keadaan pondok buruk Mak Jah. Ketika saya menghubungi pejabat agama, ada pegawai memberitahu mereka belum dapat memastikan status perkahwinan pasangan warga emas itu. Besar kemungkinan bukan suami isteri.

Saya kembali teringat ketika diwawancara, maklumat yang diberikan Mak Jah berubah-ubah. Macam ada masalah ingatan. Yang tidak berubah hanya namanya ‘Khatijah Ibrahim’. Itupun saya tidak pasti. Mungkin juga kerana populariti penyanyi Khadijah Ibrahim ketika itu.

Suatu pagi lebih kurang seminggu selepas tersiar berita pondok buruk itu, saya menerima panggilan daripada ‘informer’ di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Katanya, pegawai-pegawai tengah bersiap hendak ke pondok Mak Jah. Mungkin akan merobohkan dan memindahkan Mak Jah.

Saya segera berlari ke Pekan Rabu kemudian terus ke tepi sungai. Memang benar ada pekerja tengah merobohkan pondok Mak Jah. Khabarnya Mak Jah akan dibawa ke rumah orang-orang tua di Bedong, Kedah.

Pegawai-pegawai jabatan itu memujuk Mak Jah untuk dibawa  ke lori yang berjaring besi. Ketika itu Mak Jah sedang menanak, nasinya sedang mendidih di atas tungku batu. Mak Jah terpinga-pinga apabila melihat orang ramai di sekeliling pondoknya. Saya dapat merakamkan detik-detik ini dengan baik sekali.

Mak Jah seperti cuba tersenyum tetapi kemudian teresak-esak. Semua yang ada di situ sangat terharu dan diam. Kemudian beberapa pegawai memimpin Mak Jah ke lori. Langkahnya longlai bagai terlalu berat meninggalkan pondok itu dan matanya liar seperti mencari seseorang.

Sudah tentu lelaki yang dikatakan suaminya. Semua detik-detik pilu itu terakam kukuh dalam ingatan, juga dalam kamera. Mungkin itu hanya sebuah kisah kecil, akan tetapi memberi kesan yang besar kepada saya.

Lelaki itu terus tidak muncul, dan sebelum melangkah naik ke lori, Mak Jah berpaling ke arah saya. Dia menangis tetapi sempat melambai kepada saya. Saya pun membalas lambaian itu.  Perlahan-lahan lori bergerak dan saya menghantar Mak Jah dengan pandangan lesu hingga hilang di sebalik selekoh. Rasa sebak pun mulai menggila.

Saya kembali ke pondok yang sudah dirobohkan dinding dan atapnya. Periuk nasi di atas tungku terus menggelegak. Mak Jah tidak sempat menjamah nasi yang ditanaknya. Saya fikir sesiapa sahaja di tempat saya akan ikut berkongsi sedihnya.

Melihat api masih menyala, saya mengambil gayung dan menceduk air dari sungai lalu mencurahkan ke bawah periuk yang nasinya belum masak. Api padam dan keluar asap putih bergulung-gulung kemudian hilang. Berakhirlah Mak Jah di Pekan Rabu.

Selepas lebih kurang dua tahun bekerja di Kuala Lumpur, semasa pulang bercuti di kampung saya cuba menjejak Mak Jah di Rumah Orang-Orang Tua Bedong, Kedah. Teringin untuk melihat keadaan dia yang sudah dijaga dengan baik. Bagaimanapun sangat malang, petugas di situ memberitahu tidak ada seorang pun yang bernama ‘Khatijah Ibrahim’.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas