Berita

Rakyat Malaysia boleh salur sumbangan menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP)

Foto kredit: Wisma Putra
- Diterbit 20 Oktober 2023 7:20 AM MYT

RAKYAT Malaysia boleh menyalurkan sumbangan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin akibat konflik terbaru yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Khamis menyebut sumbangan yang dibuat melalui AAKRP adalah layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Sumbangan boleh dibuat ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad (86-0030248-9) dan sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Sekretariat AAKRP melalui alamat emel, [email protected].

AAKRRP ditubuhkan di bawah seliaan Wisma Putra dengan mandat untuk mengumpul, menyelaras dan menyalurkan sumbangan kemanusiaan daripada rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin.

Terdahulu, Bernama melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kutipan AAKRP kini berjumlah RM81 juta dan menghampiri sasaran RM100 juta.

Berucap pada majlis penyampaian sumbangan tabung AAKRP di sini pada Khamis, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kutipan besar dalam tempoh masa singkat itu menunjukkan solidariti Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Anwar turut mengingatkan pihak yang mengutip derma untuk rakyat Palestin supaya sentiasa bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan diri masing-masing. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas